Budaya buli di sekolah: Perspektif kritikal seorang angkasawan

Iklan
Budaya buli adalah simptom kepada krisis moral dan kegagalan kita mendidik anak-anak dengan sifat empati serta disiplin diri. Gambar kecil: Dr Sheikh Muszaphar Shukor

Budaya buli di sekolah kian berleluasa dalam kalangan pelajar lebih-lebih lagi berlakunya kes kematian adik Zara Qairina yang menggemparkan masyarakat baru-baru ini.

Seluruh rakyat Malaysia bangkit dan marah dengan insiden tersebut.

Iklan
Iklan

Sekolah yang sepatutnya menjadi tempat untuk anak-anak menimba ilmu tidak lagi selamat.

Isu buli di sekolah bukan sekadar kisah pergaduhan atau perlakuan kasar sesama pelajar.

Iklan

Ia adalah cerminan nilai masyarakat, kelemahan sistem pendidikan dan cabaran besar dalam membina generasi yang bakal menerajui negara.

Bagi saya, budaya buli adalah simptom kepada krisis moral dan kegagalan kita mendidik anak-anak dengan sifat empati serta disiplin diri.

Iklan

Masyarakat sering meremehkan isu buli sebagai masalah nakal remaja yang boleh diselesaikan dengan hukuman semata-mata.

Hakikatnya, buli ialah sejenis barah sosial yang mampu merebak jika tidak ditangani secara menyeluruh.

Buli tidak lahir dalam vakum, sebaliknya ia adalah hasil daripada persekitaran sama ada keluarga, sekolah mahupun masyarakat.

Foto: Canva

Jika anak-anak tidak diberikan bimbingan tentang empati, disiplin dan kepimpinan, mereka akan belajar menguasai orang lain melalui ancaman dan ugutan.

Ada pelbagai faktor yang membuatkan budaya buli ini berterusan.

Pendidikan kita masih terlalu menekankan pencapaian akademik sehingga sering mengabaikan pendidikan karakter.

Akibatnya, lahirlah pelajar yang pintar tetapi miskin dengan sifat belas ihsan.

Dalam masa yang sama, krisis kepimpinan dalam kalangan remaja semakin ketara apabila ramai pelajar mengaitkan kuasa dengan kemampuan menindas.

Budaya senioriti yang tidak sihat menanam persepsi bahawa hormat boleh dipaksa, bukan diperoleh.

Pengaruh dunia digital turut menambah parah masalah ini.

Media sosial kini menjadi medan tontonan bagi pembuli, apabila aksi mereka dirakam dan disebar sebagai hiburan.

Situasi ini akhirnya menormalisasikan keganasan dan menjadikan penderitaan orang lain sebagai bahan tontonan umum.

Lebih membimbangkan, terdapat pula kecenderungan masyarakat untuk saling menuding jari.

Sekolah menyalahkan ibu bapa, ibu bapa menyalahkan sekolah manakala masyarakat hanya menjadi penonton.

Sikap saling melepaskan tanggungjawab inilah yang menyebabkan budaya buli terus berakar umbi.

Foto: Canva

Kesan daripada budaya buli ini melangkaui trauma individu.

Jika dibiarkan, ia akan melahirkan generasi yang terbiasa dengan penindasan, kekerasan dan ketidakadilan.

Bagaimana kita mahu melahirkan pemimpin masa depan yang berdaya saing jika sejak bangku sekolah lagi mereka dididik untuk tunduk pada ketakutan?

Budaya buli bukan sahaja membunuh keberanian malah turut merencatkan kreativiti dan memadam keyakinan diri pelajar.

Penyelesaian kepada isu ini tidak boleh hanya bergantung kepada hukuman.

Pembaharuan yang lebih komprehensif dan efektif perlu dilaksanakan.

Sistem pendidikan mesti memasukkan pendidikan karakter dan empati sebagai sebahagian daripada kurikulum, agar pelajar belajar menghargai perasaan orang lain di samping mengejar kecemerlangan akademik.

Kaunselor di sekolah tidak boleh sekadar menunggu laporan, tetapi perlu proaktif turun padang memahami dinamika sosial pelajar dan bertindak sebelum insiden buli berlaku.

Ibu bapa pula harus menjadi teladan kepada anak-anak dalam cara mereka mengurus emosi dan hubungan, kerana apa yang dilihat di rumah akan ditiru di sekolah.

Dalam era digital, teknologi boleh dimanfaatkan dengan bijak, bukan sahaja untuk menyalurkan aduan dengan pantas, tetapi juga sebagai ruang untuk kempen kesedaran kreatif yang dapat mengubah cara pelajar melihat isu buli.

Kepimpinan sekolah juga perlu mengubah budaya sedia ada daripada menanam rasa takut kepada membina suasana yang meraikan hormat, kepelbagaian dan kepimpinan positif.

Isu buli bukan semata-mata tentang disiplin, tetapi soal jati diri bangsa.

Jika kita gagal membanteras budaya buli hari ini, kita akan melahirkan generasi yang lemah, trauma, dan tidak mampu bersaing di pentas dunia.

Budaya buli harus dibanteras sekarang untuk memastikan Malaysia memiliki generasi masa depan yang berani, berdisiplin, dan berintegriti.

Maklumat penulis:

Felo Universiti Kebangsaan Malaysia, Pejabat Pro Naib Canselor (Kampus Kuala Lumpur) dan angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my