Pelajar UUM disaran kuasai empat bahasa - Johari

Iklan
Johari

Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) disarankan menguasai sekurang-kurangnya empat bahasa sebagai strategi penting untuk bersaing dalam pasaran kerja global yang semakin mencabar sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka sebagai graduan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, peluang menuntut di institusi pengajian tinggi perlu dimanfaatkan sepenuhnya, bukan sahaja untuk kecemerlangan akademik tetapi juga bagi membina keupayaan komunikasi pelbagai bahasa.

Iklan
Iklan

"Cuba kuasai Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa, Mandarin sebagai bahasa perdagangan dan Bahasa Arab, contohnya.

"Kalau kamu kuasai banyak bahasa, kamu tidak akan pernah salah. Semua majikan akan mencari pelajar UUM kerana kamu ada kelebihan itu. Universiti juga patut mewajibkan pelajar ambil empat bahasa. Saya percaya Tuhan jadikan otak kita tanpa had,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Program Outreach Bicara Kepimpinan: Memupuk Kepimpinan Masa Hadapan di Dewan Seminar A, Pusat Konvensyen UUM pada Sabtu.

Iklan

Johari dalam masa yang sama turut menasihatkan pelajar agar tidak hanya fokus pada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya turut membina kemahiran insaniah seperti kepimpinan, komunikasi, jaringan antarabangsa dan nilai integriti.

"Kepimpinan bermula dengan keberanian keluar dari zon selesa. Kuasai bahasa, perluas jaringan dan jadilah pemimpin yang relevan dalam era digital,” katanya.

Iklan

Menurutnya, lawatan sambil belajar ke luar negara juga perlu diperbanyakkan oleh pelajar UUM bagi meluaskan perspektif dan pengalaman.

"Mahu atau tidak, kamu kena keluar melihat dunia. Jangan terikat dengan sistem semata-mata,” ujarnya lagi.

Mengulas tentang akses pendidikan, beliau yakin bahawa perkembangan teknologi maklumat membolehkan semua pelajar, sama ada di bandar mahupun luar bandar, mempunyai peluang sama rata dalam menuntut ilmu.

"Akses internet sudah ada di kebanyakan tempat. Ia bergantung kepada bagaimana kita memanfaatkan teknologi itu. Tiada alasan lagi untuk tidak berjaya," katanya.

Dalam sesi soal jawab bersama pelajar, Johari turut menasihati mereka yang bercita-cita menceburi dunia politik agar melengkapkan diri dengan pencapaian akademik yang cemerlang serta penampilan diri yang meyakinkan.

"Anda bukan sahaja akan ditanya oleh ribuan rakyat, tetapi juga oleh Tuhan apa yang telah anda lakukan ketika anda diberi kuasa? Jadilah wakil rakyat yang bijak dan bertanggungjawab," katanya mengakhiri sesi tersebut.

Johari sebelum itu meluangkan masa mengunjungi Anjung Tamu UUM dengan diiringi oleh Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Mohd Foad Sakdan serta Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed.