Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus mencatat pencapaian membanggakan apabila merekodkan Kadar Kebolehpasaran Graduan sebanyak 98.9 peratus pada 2024 berbanding 97.7 peratus pada tahun sebelumnya.
Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Zaliman Sauli berkata, kadar itu hasil komitmen berterusan universiti dalam memastikan graduan yang dilahirkan bukan sahaja berpengetahuan malah kompeten, berketrampilan serta bersedia bersaing dalam pasaran kerja yang mencabar.
"Pencapaian itu membuktikan usaha UniMAP dalam memperkukuh hubungan strategik dengan industri, agensi kerajaan serta komuniti selain menyediakan pendidikan berasaskan keperluan industri membuahkan hasil positif.
"Pelbagai inisiatif dilaksanakan, termasuk program berteraskan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional), latihan praktikal menyeluruh, kerjasama erat bersama industri dan bimbingan kerjaya secara berterusan kepada pelajar," katanya dalam satu kenyataan.
Zaliman berkata, Kadar Bekerja Graduan UniMAP juga menunjukkan peningkatan, mencatatkan 98.8 peratus iaitu yang tertinggi sejak penubuhan universiti itu pada 2002.
Kenyataan itu memaklumkan berdasarkan Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), kadar kebolehpasaran itu merangkumi graduan yang telah bekerja, melanjutkan pengajian, mengikuti program peningkatan kemahiran dan sedang menunggu penempatan pekerjaan. - Bernama