Dalam era kemodenan yang semakin berkembang pesat, generasi muda memainkan peranan penting dalam menyemai nilai-nilai kepimpinan utuh dan berkesan.
Mereka adalah benteng utama dalam memastikan kepimpinan negara terus berada di landasan betul dan mampan.
Setiap individu muda sama ada di dunia pendidikan, kerjaya atau komuniti, seharusnya menjadi cerminan kepada ciri-ciri kepimpinan yang diperlukan bagi memacu wawasan negara menuju masa depan lebih gemilang.
Apabila menyentuh soal kepimpinan, ia bukanlah tugas yang boleh dipandang ringan. Kepimpinan merupakan tanggungjawab besar dan memerlukan komitmen mendalam.
Generasi muda perlu menyedari bahawa mereka adalah pewaris masa depan negara.
Oleh itu, integriti, kejujuran dan sikap bertanggungjawab perlu dijadikan landasan dalam setiap tindakan mereka.
Namun, menjadi satu kerisauan apabila terdapat segelintir daripada mereka alpa dan leka dalam mempersiapkan diri sebagai pemimpin.
Fenomena ini mungkin berpunca daripada kurangnya kesedaran atau pendedahan kepada nilai kepimpinan sejak awal usia.
Namun begitu, untuk menjadi seorang pemimpin yang berkesan, generasi muda tidak perlu terus memegang jawatan tinggi dalam kerajaan atau organisasi. Ini kerana, kepimpinan bermula dari diri sendiri.
Sebagai contoh, memimpin diri dalam aspek pengurusan masa, disiplin diri dan keberanian membuat keputusan adalah langkah-langkah awal membina sifat kepimpinan.
Misalnya, seorang pelajar yang mampu mengurus jadual belajarnya dengan baik, menghormati masa orang lain dan berani menyuarakan pandangan semasa perbincangan akademik, menunjukkan ciri-ciri kepimpinan yang boleh diaplikasikan dalam skala lebih besar di masa hadapan.
Generasi muda seharusnya mengambil peluang untuk mengasah bakat kepimpinan mereka dengan melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan dan kumpulan.
Penglibatan seperti kerja sukarela, organisasi pelajar atau kelab-kelab sosial mampu meningkatkan daya kepimpinan dan memperkukuh hubungan sesama masyarakat.
Bekerjasama dalam kumpulan mengajar mereka nilai komunikasi berkesan, toleransi dan pengurusan konflik, yang kesemuanya adalah elemen penting dalam kepimpinan.
Pendedahan kepada masyarakat juga boleh membantu mereka memahami pelbagai perspektif dan keperluan yang berbeza.
Dengan ini, mereka akan lebih bersedia untuk memikul tanggungjawab lebih besar dan mempunyai wawasan jelas dalam memimpin sebuah negara yang pelbagai budaya dan agama seperti Malaysia.
Kesimpulannya, kepimpinan generasi muda adalah kunci kepada masa depan negara.
Dengan integriti, iltizam dan kesungguhan, mereka bukan sahaja mampu memimpin diri mereka sendiri dengan baik, tetapi juga memacu Malaysia ke arah kemajuan yang lebih cemerlang.
Generasi muda perlu sedar bahawa kepimpinan bermula diri sendiri dan dari situlah, wawasan negara dapat diteruskan dengan penuh harapan.
Bak kata pepatah, ‘pemimpin berakal, rakyat bersendal’apabila pemimpin bijaksana dan mempunyai akal yang matang, maka rakyat akan hidup dalam keadaan aman dan sejahtera.
Ini menggambarkan betapa pentingnya kebijaksanaan dan integriti dalam kepimpinan generasi muda untuk memacu kesejahteraan negara dan memastikan wawasan negara tercapai dengan adil dan harmoni.
Maklumat Penulis:
Mahasiswa Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka, Muhammad Adz Arrief Hayat Zamri
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my