Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan mulakan pengambilan warden sepenuh masa dalam kalangan bekas pegawai tentera dan polis sebagai projek rintis bagi membentuk disiplin pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan mencapai sasaran sifar buli.
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cadangan itu telah bangkitkan dalam Majlis Mara dan telah dipersetujui sebulat suara.
Menurutnya, sebagai permulaan, projek rintis akan dimulakan dengan melibatkan beberapa MRSM bagi melihat dan mengkaji keberkesanan inisiatif tersebut.
"Kerjasama juga akan dilakukan dengan Persatuan Veteran Tentera dan Bekas Polis bagi mengenal pasti kriteria pemilihan.
"Bahagian Pendidikan Menengah Mara juga akan menyediakan garis panduan yang jelas berkenaan terma-terma rujukan (TOR) tanggungjawab dan bidang tugas warden di MRSM," katanya menerusi laman Facebook pada Khamis.
Sebelum ini, bekas guru, Mohd Fadli Mohamed Salleh pernah mencadangkan agar diwujudkan jawatan warden secara tetap yang terdiri daripada pesara askar, polis dan pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
Tambah beliau, tugas warden tidak sesuai diberikan sepenuhnya kepada guru kerana ia sangat berat dan memerlukan perhatian sepanjang masa.
Jelas Asyraf Wajdi, inisiatif itu penting untuk memastikan pembangunan sahsiah, disiplin dan akhlak pelajar-pelajar MRSM sentiasa dapat diperkasakan.
"Ia seiring dengan falsafah pendidikan yang mahu melahirkan generasi yang cemerlang secara holistik dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.
"Ini juga bagi memastikan matlamat Mara untuk sifar buli di MRSM benar-benar mampu direalisasikan," ulasnya.