Ragbi sekolah kembali gempak, 36 pasukan intai kejuaraan SSR 2025

Iklan
Pasukan yang menyahut cabaran SSR 2025 edisi 10.

Kejohanan ragbi peringkat sekolah, Super Schools Rugby (SSR), melakar pencapaian baharu sempena edisi ke-10 apabila mengumumkan peningkatan dalam jumlah hadiah wang tunai menjadikan musim ini sebagai edisi paling lumayan dalam sejarah penganjuran.

Pengarah Kejohanan, Shahrizin Shaharudin berkata, peningkatan nilai hadiah berkenaan merupakan penghargaan kepada komitmen dan usaha gigih semua pasukan, pengurusan sekolah DAN akademi.

Iklan
Iklan

"SSR selepas sedekad penganjuran bukan sahaja berjaya menjadi medan mencungkil pemain berpotensi kebangsaan, tetapi juga memainkan peranan penting dalam menyemai nilai perpaduan, disiplin dan integriti dalam kalangan pelajar.

"Ini juga satu antara pendekatan penganjur dalam bentuk pengiktirafan terhadap sumbangan besar akademi ragbi dalam memupuk dan membangunkan bakat muda tanah air sekali gus meletakkan asas kukuh buat masa depan sukan ragbi negara," katanya sempena Majlis Kick Off Showcase di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada Khamis.

Iklan

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Aminuddin Hassim hadir menyempurnakan pelancaran musim baharu SSR 2025, yang turut dihadiri Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Amir Amri Mohamad.

Tambah Shahrizin, juara SSR 2025 bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM15,000, peningkatan signifikan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Iklan

"Naib juara pula akan menerima RM7,000, satu insentif yang diyakini mampu meningkatkan daya saing dalam kalangan pasukan-pasukan elit sekolah menengah dari seluruh negara.

"Bagi Divisyen Akademi SSRA, ganjaran turut diperhebat, dengan juara akan menerima RM10,000 manakala naib juara membawa pulang RM5,000," katanya.

Sebagai rekod, edisi ke-10 SSR menyaksikan penyertaan sebanyak 36 pasukan dari seluruh negara yang bakal bersaing dalam dua divisyen utama - Divisyen SSR dan Akademi SSRA.

Sebanyak 24 pasukan akan bertanding dalam Divisyen SSR manakala 12 pasukan lagi bersaing dalam Divisyen Akademi SSRA yang semakin mendapat perhatian sebagai platform pembangunan akar umbi.

INFO

DIVISYEN SUPER SCHOOL RUGBY

KUMPULAN A:

  • SMS Hulu Selangor, Sekolah Dato’ Abdul Razak, SMS Tuanku Jaafar, Sekolah Sultan Alam Shah.

KUMPULAN B:

  • Maktab Sultan Abu Bakar, SMK Abi, Kolej Yayasan Saad, SMS Tuanku Syed Putra

KUMPULAN C:

  • Victoria Institution, SMS Pokok Sena, SMS Sultan Mahmud, MRSM Alor Gajah

KUMPULAN D:

  • Sekolah Tuanku Abdul Rahman, SMS Selangor, SMK Sultan Yahya Petra, SMS Sultan Mohamad Jiwa

KUMPULAN E:

  • Malay College Kuala Kangsar, SBPI Gombak, SMS Teluk Intan, Kolej Sultan Abdul Hamid

KUMPULAN F:

  • MRSM Balik Pulau, Maktab Tentera Diraja, Sekolah Sains Sultan Hj Ahmad Shah, High School Bukit Mertajam

DIVISYEN AKADEMI SUPER SCHOOL RUGBY

KUMPULAN X:

  • Akademi Ragbi Selangor, High School Batu Pahat, SMK King Edward VII, Akademi Ragbi Terengganu

KUMPULAN Y:

  • Sekolah Sukan Malaysia Pahang, Maktab Sultan Ismail, SMK Shah Alam, COBRA

KUMPULAN Z:

  • Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, SMK Hosba, KL Tigers, Akademi Ragbi Melaka