Bakat terselindung pelajar disleksia

Iklan
Nur Marissa Hana menunjukkan karya yang dilukis secara digital pada skrin tablet.

Nur Marissa melukis sejak usia tiga tahun meskipun sukar membaca, memahami arahan

Meskipun diuji dengan disleksia, Nur Marissa Hana Anuar, 12, membuktikan bahawa kekurangan bukan penghalang untuk menyerlahkan keistimewaan diri.

Pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Presint 9 (2) Putrajaya itu, mungkin sukar membaca dan menulis seperti rakan sebaya, namun bakat luar biasanya dalam seni lukis membuatkan ramai terpegun.

Iklan
Iklan

Lebih mengagumkan, setiap lukisan dihasilkan tanpa sebarang rujukan visual dan semuanya daripada imaginasi dan memori.

Ibunya, Nur Shahida Md Yusup, 40, meluahkan rasa sedih dan kecewa apabila gagal mengetahui perkara itu lebih awal, memandangkan anak kedua daripada tiga beradik itu mula menonjolkan sikap yang abnormal.

Iklan

"Jika tahu sejak kecil, sekurangkurangnya boleh bawanya ke pakar atau beri pendidikan sewajarnya.

"Semasa Nur Marissa berusia 9 tahun, dia masih tidak boleh membaca, mengenal huruf atau nombor dan gagal bertutur dengan lancar.

Iklan

"Sebab itu, saya dan suami membawanya ke hospital untuk menjalani rawatan,” katanya secara eksklusif kepada Sinar Bestari.

Bagaimanapun kanak-kanak istimewa itu memukau orang ramai dengan kebolehan yang dianugerahkan kepadanya iaitu pandai melukis.

Lebih mengejutkan lagi, Nur Marissa mampu melukis tanpa menggunakan rujukan visual.

Suri rumah itu berkata lagi, anaknya mula menunjukkan minat melukis sejak di usia tiga tahun.

"Semakin meningkat usia, hasil lukisan Nur Marissa semakin baik dan cantik. Saya juga nampak yang dia lebih fokus dan boleh bertutur dengan lancar apabila dia bercerita tentang lukisan yang dilukisnya.

"Ini mungkin asbab dia sering melukis walaupun di tempat yang sibuk dan ramai orang,” katanya.

Sukar faham

Dalam suasana kelas yang penuh dengan suara dan perbualan, masih ada pelajar yang terdiam atau terpinga-pinga.

Bukan kerana tidak mahu belajar, namun sukar memahami apa yang diajar.

Walaupun dari luar mereka kelihatan seperti pelajar biasa, namun dalam fikiran mereka, huruf-huruf bercampur, ayat keliru dan arahan amat payah untuk ditafsirkan.

Tambah Nur Shahida, setiap kali guru mengajar, Nur Marissa berusaha untuk memberi tumpuan sepenuhnya, namun maklumat yang diterima tidak mudah diproses seperti pelajar normal yang lain.

"Dia susah nak faham sesuatu yang telah diajar dan mudah hilang fokus. Nur Marissa juga tidak boleh faham arahan yang berperingkat, jadi kita perlu beri tunjuk ajar secara fizikal.

"Buat masa sekarang, saya selalu mengajaknya berbual supaya boleh mula fokus dengan sesuatu perkara.

"Saya mula praktikkan dengan berbual dengan bertanya banyak soalan. Kini dia mula minta pendapat saya mengenai lukisannya. Alhamdulillah, sudah ada perubahan sejak kebelakangan ini,” katanya.

Unik

Kisah pelajar disleksia ini menjadi peringatan kepada semua bahawa setiap insan mempunyai kadar dan keunikan tersendiri.

Apa yang penting, mereka tidak perlu dinilai berdasarkan kelemahan, tetapi dibimbing berdasarkan kekuatan yang dimiliki.

Nur Shahida menyarankan ibu bapa lain yang senasibnya untuk tidak berputus asa.

"Kita sebagai ibu bapa perlu memainkan peranan penting untuk mereka. Mereka perlu dibantu.

"Jangan terlalu fokus untuk membaiki kelemahan anak hingga ibu bapa terlupa untuk membantu meningkatkan lagi kelebihan yang sedia ada. Saya percaya bakat anak istimewa ini tidak terjangka,” katanya lagi.

Dengan sokongan ibu bapa yang sabar dan guru yang prihatin serta pendekatan bersesuaian, pelajar disleksia mampu membina keyakinan diri sekali gus mencipta kejayaan dalam cara mereka sendiri.