Dalam dunia pendidikan kini, pelajar berkeperluan khas menjadi keutamaan dan perlu difahami.
Salah satu cabaran ialah murid yang mempunyai masalah disleksia, iaitu sejenis gangguan pembelajaran yang menjejaskan keupayaan seseorang untuk membaca, menulis dan memahami bahasa dengan lancar.
Walaupun ia bukan penyakit, namun tetap memerlukan pemahaman khusus dan pendekatan pengajaran yang sesuai bagi memastikan pelajar dapat berkembang mengikut potensi masing-masing.
Pensyarah Kanan Psikologi Perkembangan (Kanak-kanak dan Remaja), Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nellie Ismail berkata, pendekatan multi deria (multisensory) merupakan inisiatif yang boleh digunakan untuk membantu pelajar terbabit menimba ilmu.
"Pendekatan ini menggabungkan pelbagai sensor (deria), iaitu penglihatan, pendengaran, sentuhan dan pergerakan untuk membantu proses pembelajaran murid disleksia.
"Ibu bapa boleh menggunakan kad imbas bergambar dan berwarna, aktiviti menulis huruf atas pasir atau tanah liat sambil menyebut bunyinya.
"Tidak lupa juga, mereka boleh menggunakan irama atau lagu untuk mengingati ejaan, memberi masa tambahan dan mengelakkan penilaian secara lisan atau bertulis sahaja,” katanya kepada Sinar Bestari.
Selain itu, pihak guru juga boleh menggunakan pendekatan pengajaran secara berstruktur dan berulang kerana pelajar disleksia memerlukan lebih masa untuk memproses dan mengingati maklumat.
Kenal pasti lebih awal
Dalam mengejar kejayaan akademik anak-anak, ada segelintir daripada mereka yang sering dilabel sebagai malas, lembap atau tidak fokus.
Sedangkan para pelajar sebenarnya bergelut dengan gangguan pembelajaran yang tidak kelihatan pada mata kasar orang lain.
Tegas Nellie, masalah disleksia perlu dikenal pasti dari peringkat awal supaya memudahkan usaha menyediakan sokongan yang sesuai.
"Pelajar yang didiagnosis disleksia dari awal boleh mengikuti proses pembelajaran sama seperti yang lain.
"Sokongan dan bahan mengajar juga boleh membantu mereka untuk lebih bermotivasi dalam pembelajaran,” katanya.
Selain itu, ia boleh meningkatkan tahap keyakinan diri pelajar dan memastikan keberkesanan pembelajaran dalam tempoh masa yang panjang.
Mengenali dan memahami disleksia sejak awal bukan sahaja membuka jalan kepada kejayaan pelajar, malah menyelamatkan emosi serta masa depan mereka.