Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedia melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) semasa Sidang Kemuncak ASEAN pada Mei dan Oktober depan bagi mengelak kesesakan jalan raya.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ketika ini pihaknya sedang mengenal pasti sekolah yang terlibat bagi pelaksanaan PdPR itu.
"Ya, memang ada perbincangan (pelaksanaan PdPR) dan kita sedang mengenal pasti sekolah-sekolah yang terlibat untuk memastikan kelancaran program ASEAN dan mengelakkan kesesakan jalan raya.
"Jadi tidak ada masalah, kita bersedia untuk melaksanakan proses tersebut dan juga kita memberikan komitmen sepenuhnya, dan memang ada perkara itu dibincangkan (di KPM),” katanya kepada pemberita selepas hadir Majlis Simbolik Pemakaian Lencana Jalur Gemilang di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Ahmad Badawi, Kepala Batas, Pulau Pinang pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan mengenai kerja dari rumah dan pelaksanaan PdPR semasa Sidang Kemuncak ASEAN pada Mei dan Oktober depan, yang akan dibawa kepada perhatian Kabinet.
Mohamad dilaporkan berkata, cadangan itu timbul berikutan kesulitan dan kekangan yang dihadapi oleh orang ramai khususnya di Kuala Lumpur dan Putrajaya, yang terkesan akibat penutupan jalan semasa lawatan negara Presiden China Xi Jinping, ke Malaysia.
Sementara itu Fadhlina berkata, KPM mengambil perhatian penuh berhubung sistem kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang akan diselaraskan mulai pengambilan Januari tahun hadapan.
"Kita memang ambil perhatian penuh kepada semua, termasuk semua jenis ujian kelayakan dan sebagainya untuk kemasukan itu, insya-ALLAH perkara itu sedang diselaraskan (di peringkat KPM dan MRSM) jadi tidak ada masalah dalam konteks tersebut," katanya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, pemohon boleh memohon ke kedua-dua institusi pendidikan itu, namun akan menerima satu tawaran sahaja. - Bernama