Kejayaan seorang pelajar tidak pernah dimonopoli oleh lepasan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) atau Sekolah Berasrama Penuh (SBP) semata-mata.
Jika ada usaha, doa dan kesungguhan, pasti akan ada jalan kejayaan.
Itulah kisah inspirasi yang dikongsikan oleh seorang individu dikenali sebagai mamababajannah di platform TikTok.
Dalam perkongsiannya, beliau membuktikan bahawa dirinya berjaya bergelar pensyarah, meskipun bukan produk MRSM atau SBP.
Lebih menyentuh hati, mamababajannah mendedahkan bahawa dia hanyalah anak kepada seorang pemandu lori yang menuntut di sekolah harian biasa.
Namun, keterbatasan latar belakang bukan penghalang untuk terus bermimpi dan melangkah jauh.
"ALLAH SWT tidak pernah menilai kita daripada nama sekolah atau latar belakang keluarga, tetapi daripada usaha, doa dan kesungguhan hati," tulisnya.
Tambahnya lagi, dengan izin dan rahmat ALLAH, hari ini dia berdiri sebagai seorang pensyarah yang mendidik dan menyumbang kembali kepada anak bangsa.
Perkongsian itu turut mengundang rasa sebak apabila mamababajannah menitipkan nasihat khusus kepada ibu bapa yang mungkin pernah kecewa, pernah menangis sendirian kerana anak tidak terpilih ke SBP.
"Jangan putus harapan. Jalan kejayaan itu luas dan setiap anak punya takdir cemerlangnya sendiri," katanya.
Menurut beliau lagi, selagi seseorang itu tidak berhenti mengejar ilmu kerana ALLAH, maka itulah jihad paling indah yang sedang dijunjung bersama.
Dalam masa sama, beliau turut mengucapkan tahniah kepada pelajar yang terpilih ke MRSM, SBP dan sekolah-sekolah cemerlang.
"Tahniah dan syabas. Semoga amanah yang diberi dipikul dengan rendah hati dan kecemerlangan yang dikejar bukan hanya untuk dunia, tetapi bernilai hingga ke akhirat," tulis wanita hebat ini.
Mengakhiri perkongsian, mamababajannah berpesan kepada semua ibu bapa agar terus percaya kepada perancangan ALLAH.
"Percayalah mak ayah, sebaik-baik perancangan, rancangan ALLAH jugalah yang terbaik. Kadang-kadang bukan seperti yang kita mahu, tetapi ALLAH lebih tahu apa yang kita perlu.
"Ingatlah kejayaan bukan tentang dari mana kita bermula, tetapi sejauh mana kita sanggup terus melangkah. Maka jangan putus berharap dan bersangka baik denganNya," akhiri beliau.