Semangat juang dan kecemerlangan pelajar dalam bidang Perakaunan diserlahkan apabila lapan pasukan terbaik dari seluruh negeri Pahang berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir Kuiz Perakaunan Negeri Pahang (KPNP) 2025.
Pertandingan yang julung kali dianjurkan oleh Universiti Tenaga Nasional Business School (UNITEN) dengan kerjasama pelbagai rakan strategik membuka ruang kepada pelajar mengasah minda dalam bidang tersebut.
Ia juga menjadi pentas untuk mencungkil bakat baharu yang berpotensi menyerlah di peringkat lebih tinggi.
Pengarah program, Nik Abdul Qayyum Nik Azhar berkata, program tersebut amat signifikan dalam memberi impak positif kepada peserta bukan sahaja aspek pengetahuan akademik.
Secara tidak langsung, ia turut menyumbang kepada pembentukan karakter, nilai diri dan keyakinan pelajar sebagai persediaan menghadapi alam pengajian tinggi.
"KPNP ini bukan sekadar satu pertandingan ilmu, tetapi merupakan sebuah platform pemerkasaan pelajar.
"Ia bagi mencungkil bakat muda dalam bidang perakaunan, menyemai minat yang mendalam sekali gus memupuk budaya kecemerlangan dalam kalangan pelajar sekolah menengah di negeri Pahang,” katanya.
Sebagai rekod, peringkat saringan berlangsung secara dalam talian menerusi platform Zoom pada 16 April lalu telah menyaksikan penyertaan luar biasa daripada 157 pasukan yang terdiri daripada pelbagai sekolah menengah.
Majlis perasmian tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UNITEN, Profesor Dr Abdul Aziz Mat Isa.
Lapan sekolah terpilih untuk mara ke peringkat separuh akhir selepas persaingan sengit di peringkat saringan dilakukan.
Sekolah berkenaan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abu Bakar; Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tanah Puteh; SMKJ Hwa Lian; SMK Seri Bahagia; Maahad Tahfiz Negeri Pahang; Maktab Sains Rendah Mara (MRSM) Muadzam Shah; MRSM Kuantan dan SMK Agama Pahang.
Menambahkan lagi debaran, lapan pasukan berkenaan akan bersaing untuk merebut hadiah utama berupa tajaan yuran pengajian di UNITEN bernilai RM12,000 dan wang tunai bernilai RM600, trofi kejuaraan serta sijil penghargaan yang ditawarkan kepada para pemenang.