10 pensyarah terima sijil eksekutif kewangan Islam USIM

Iklan
Program disertai mereka bukan sahaja memberi nilai tambah kepada pensyarah Mara, malah menjadi langkah penting dalam memperluas pengaruh kewangan Islam melalui pendidikan dan latihan profesional.

Seramai 10 pensyarah dari Kolej Profesional Mara (KPM) Bandar Melaka, Melaka berjaya menamatkan dua program pensijilan eksekutif dalam bidang kewangan Islam yang ditawarkan oleh Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Setiap peserta menerima dua sijil profesional iaitu Market Research and Data Analytics for Islamic Finance Executive Certificate serta Islamic Fintech and Blockchain Executive Certificate yang membolehkan mereka memperkasa pengetahuan serta kemahiran dalam bidang kewangan Islam moden.

Iklan
Iklan

Menurut Dekan FEM USIM, Profesor Madya Dr Syahidawati Shahwan, program berkenaan bukan sahaja memberi nilai tambah kepada pensyarah Mara, malah menjadi langkah penting dalam memperluas pengaruh kewangan Islam melalui pendidikan dan latihan profesional.

"USIM komited untuk meneruskan penganjuran program seumpama ini dengan kerjasama agensi-agensi di bawah Mara serta institusi pengajian tinggi lain, demi menyokong aspirasi negara menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan kewangan Islam di peringkat serantau," katanya ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Sijil Eksekutif Kewangan Islam yang berlangsung di kampus USIM baru-baru ini.

Iklan

Turut hadir ke majlis tersebut ialah Pengarah KPM Bandar Melaka, Md Zan Md Yausuf; Timbalan Pengarah Hal Ehwal Akademik, Halimahton Kamarudin; serta Ketua Jabatan Perakaunan dan Ekonomi KPM Bandar Melaka, Dr Munirah Salim.

Syahidawati berkata, kerjasama itu merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan antara USIM dan Mara melalui KPM Bandar Melaka.

Iklan

Ia bertujuan memperkukuh pendidikan kewangan Islam menerusi latihan yang berstruktur, berpaksikan industri serta selaras dengan perkembangan teknologi semasa.