Seorang pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Alor Gajah di sini, membuktikan bahawa pendekatan belajar secara santai namun konsisten mampu membuahkan hasil cemerlang apabila berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
Pelajar itu, Yusrahanis Nadilah Yusmanezam,18, yang merupakan anak kedua daripada empat beradik, berkongsi teknik belajar yang diamalkannya sepanjang tempoh persekolahan, termasuk menulis nota sendiri ketika kelas.
Yusrahanis berkata, dia turut tidak ketinggalan membaca semula nota tersebut mengikut jadual belajar setiap malam sebelum tidur.
"Saya tak boleh belajar guna nota secara atas talian atau kawan punya.
Jadi saya perlu tulis sendiri masa cikgu mengajar dan setiap malam saya baca balik nota-nkta ikut jadual subjek,” katanya ketika ditemui.
Mengulas lanjut, beliau turut mengaitkan pembelajaran dengan pengalaman harian, menjadikan proses menuntut ilmu sesuatu yang lebih bermakna dan mudah diingati.
"Saya nampak apa saya belajar dalam kehidupan saya contohnya, kalau nampak tiang berkarat masa berjalan, terus teringat topik kimia.
Lepas tu cuba mengingati semula apa yang telah kita pelajari," katanya yang berhasrat untuk menyambung pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) atau Universiti Malaya (UM).
Tambahnya bagi subjek-subjek pengiraan seperti matematik dan fizik, dia yang berasal dari Paya Rumput menetapkan sasaran untuk menjawab sekurang-kurangnya satu soalan sehari sebagai latihan.
"Walaupun kesibukan belajar namun percaya rehat juga penting dan mendorong kepada kejayaan," katanya lagi.