Tiada sesiapa yang dapat membayangkan seseorang yang menghabiskan hampir keseluruhan usia muda di sebalik tirai besi mampu melangkah jauh sehingga berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD).
Namun, itu kisah luar biasa seorang bekas banduan yang hanya ingin dikenali sebagai Dr Murad (bukan nama sebenar), 38, yang membuktikan bahawa beliau mampu meneruskan pengajian walaupun di penjara.
Murad yang memiliki PhD dalam bidang Pentadbiran Perniagaan itu berkata, beliau percaya bahawa kejayaan akan datang satu persatu melalui pendidikan.
"Saya berhenti sekolah ketika Tingkatan Satu tetapi nekad ambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) walaupun tidak pernah duduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan gagal dua subjek iaitu bahasa Inggeris serta Matematik.
"Kegagalan ini tidak patahkan semangat yang mana kemudian saya sambung Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan satu pintu terbuka apabila Open University Malaysia (OUM) menawarkan peluang pengajian.
"Cabaran lain pula muncul seperti masalah kewangan, kemahiran komputer terhad dan keperluan membayar yuran secara konsisten tetapi saya nekad untuk hadap sahaja dan teruskan juga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen ke-29 OUM di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu.
Untuk rekod, Murad telah menjalani hukuman dari 2001 ketika berusia 14 tahun dan dikategorikan sebagai Tahanan Limpah Sultan (TLS) di Rawatan Pemulihan Dadah Penjara Kajang.
Beliau kemudian dibebaskan pada 11 Disember 2024 sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Murad merupakan prospek pertama Jabatan Penjara Malaysia yang bergelar PhD dalam Pentadbiran Perniagaan setelah menyambung pelajaran semasa menjalani hukuman pemenjaraan.
Mengulas lanjut, anak kelahiran Sabah itu berkata, selepas memperoleh PhD dalam bidang kajian berkaitan banduan, beliau mula menjalankan penyelidikan untuk memahami potensi banduan menjadi usahawan selepas dibebaskan.
Murad yang kini membuka kebun secara kecil-kecilan di Batang Kali menyimpan hasrat untuk terus membantu rakan banduan lain mendapatkan pekerjaan seterusnya menjadi usahawan.
"Kebanyakan banduan apabila di dalam (penjara), mereka mampu buat banyak perkara dengan kepakaran dan latihan yang diberikan tetapi selepas keluar dari penjara, mereka seolah-olah tiada kepakaran ini.
"Ini yang saya mahu kaji dan dalam masa yang sama membantu rakan banduan lain, bukan sahaja sebagai seorang pekerja tetapi usahawan yang berjaya satu hari nanti.
"Saya juga mahu buktikan kepada masyarakat yang sebenarnya kalau seseorang mahu berubah, tiada yang mustahil. Kita tidak boleh ubah persepsi masyarakat tetapi kita boleh kawal diri sendiri," ujarnya.