Dahulu, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sering dianggap sebagai pilihan kedua atau terakhir bagi pelajar yang kurang cemerlang dalam akademik, namun tanggapan itu sudah lenyap.
Dengan perkembangan teknologi dan keperluan industri yang kian mendesak, TVET kini muncul sebagai laluan utama yang berprestij dan berpotensi tinggi.
Perkara itu dikongsi alumni TVET Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Farhah Kamarudin bahawa individu yang mempunyai kemahiran teknikal dan boleh bekerja dengan alat atau teknologi sebenar lebih dihargai.
"Ramai juga graduan TVET yang menjawat jawatan dalam syarikat besar. Masyarakat juga perlu faham bahawa kejayaan tidak hanya datang dari segulung ijazah tetapi dari kecekapan dan kesungguhan,” katanya secara eksklusif kepada Sinar Bestari.
Realitinya, TVET hari ini adalah pilihan strategik yang membuka pintu luas ke dunia kerjaya yang berpendapatan lumayan.
Praktikal dan hands-on
Bidang kejuruteraan yang didominasi golongan lelaki, tidak lagi membuatkan Farhah berasa kekok kerana setiap perkara yang dipelajari di UniMAP digunakan sebaiknya ketika bekerja.
Farhah, 29, yang bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat automatif kini terlibat dalam proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta sistem ujian kenderaan.
"Semua hands-on di UniMAP seperti troubleshooting, penggunaan alat pengujian dan simulasi sistem sangat selari dengan tugas saya sekarang.
"Jadi, pendekatan praktikal yang dilaksanakan di UniMAP benar-benar membantu saya meskipun sudah tujuh tahun bergelar alumni,” katanya.
Farhah turut menasihati pelajar TVET memanfaatkan sepenuhnya segala kemudahan disediakan oleh universiti terutama mereka yang memerlukan pendedahan praktikal dan teknikal.
"Jangan tunggu disuruh, sebaliknya cari peluang untuk belajar dan tambah baik kemahiran.
"Skill-set teknikal penting tetapi kemahiran insaniah seperti komunikasi, kerja berpasukan dan kepimpinan jangan dilupakan,” katanya.
Tambahnya, peluang yang ada wajar dimanfaatkan sebagai persediaan menghadapi cabaran dunia pekerjaan kelak.