Nama Sekolah Kebangsaan (SK) Shah Alam, Selangor kini meniti di bibir warga pendidikan apabila muncul johan kategori Inovasi Sekolah Rendah dalam Pertandingan SciFusion Kebangsaan 2025 di Kolej Pendeta Za’ba, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini.
Kemenangan berkenaan diraih menerusi inovasi hebat bertajuk FonikAR iaitu aplikasi bahan bantu mengajar berasaskan realiti terimbuh (Augmented Reality - AR) yang dibangunkan empat murid di bawah bimbingan guru inovatif, Cikgu Shahrul Asyraf Suhaimi.
Menurut Cikgu Shahrul Asyraf, FonikAR dibangunkan bagi menyokong dua keperluan utama pendidikan negara iaitu penguasaan kemahiran asas 3M (membaca, menulis, mengira) bagi murid sekolah rendah dan menyahut seruan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mendigitalkan pendidikan melalui Dasar Pendidikan Digital.
"Aplikasi ini membolehkan pengguna mengimbas kad imbas dan melihat huruf dalam bentuk 3D, lengkap dengan contoh perkataan dan bunyi fonik.
"Ia sesuai digunakan di sekolah mahupun di rumah malah direka mesra untuk murid Pendidikan Khas," ujarnya.
Beliau berkata, FonikAR menggabungkan pendekatan fonik tradisional dengan teknologi AR yang moden dan futuristik.
"Kami cuba menghasilkan satu pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan dan inklusif, sesuai untuk semua murid tanpa mengira latar belakang atau keupayaan,” jelasnya lagi.
Cikgu Shahrul Asyraf berkata, inovasi FonikAR mempunyai pelbagai keunikan antaranya paparan tulisan 3D sebenar disertai suara bantuan fonik sekali gus menyokong pembelajaran secara visual dan auditori.
Malah katanya, aplikasi itu juga boleh digunakan di sekolah mahupun di rumah.
Walaupun bersaing dengan pelbagai sekolah hebat dari seluruh negara, pasukan SK Shah Alam tidak menyangka mampu muncul johan.
"Saingan memang sengit. Tapi kami percaya pada projek yang dibangunkan dan alhamdulillah, juri nampak potensi FonikAR," kata wakil murid.
Sementara itu, Cikgu Shahrul Asyraf berkata, FonikAR sedang dalam proses tapisan pertama bersama Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bagi mendapatkan perlindungan hak cipta.
Ujarnya, pihak sekolah juga bercadang untuk memperluaskan penggunaan aplikasi tersebut ke seluruh negara termasuk sekolah luar bandar.
"Kami mahu FonikAR dimanfaatkan oleh seramai mungkin murid. Ini bukan sekadar tentang menang pertandingan, tapi bagaimana inovasi berkenaan boleh memberi impak sebenar kepada dunia pendidikan,” ujar beliau.
Terdahulu, Pertandingan SciFusion merupakan acara julung kali anjuran Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains dan Teknologi bersama Majlis Eksekutif Pelajar Kolej Pendeta Za’ba, UKM, dengan tema 'Innovate to Elevate'.
Ia menampilkan pelbagai kategori seperti inovasi, pembentangan fizikal, infografik dan video kreatif serta melibatkan penyertaan hibrid fizikal dan dalam talian.
Pengarah Projek SciFusion 2025, Mohamad Zulfiqar Mohd Shah berkata, SciFusion direka sebagai platform untuk pelajar sekolah menunjukkan potensi sebenar mereka dalam bidang inovasi dan STEM.
"Kami harap program ini dapat mencetus semangat ingin tahu dan keyakinan untuk mereka terus berinovasi dalam dunia sebenar," tuturnya.
INFO
Seramai 250 peserta fizikal dan 135 peserta dalam talian mengambil bahagian sekali gus mewakili sekolah dari seluruh negara.
Antara pemenang utama lain ialah:
1) Kategori Inovasi Sekolah Rendah: Johan menjadi milik SK Shah Alam menerusi produk FonikAR.
2) Kategori Inovasi Sekolah Menengah: Johan - Kolej Permata Insan, Negeri Sembilan (iONO).
3) Pembentangan Fizikal Sekolah Rendah: Johan - Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Highland, Selangor (Ricinus Healing Stick)
4) Pembentangan Fizikal Sekolah Menengah: Johan - Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Yayasan Terengganu Kemaman (Physio-Finger Device)
5) Kategori Infografik: Johan - Sekolah Agama Menengah (SAM) Unwanus Saadah, Selangor (Riang Ria Kimia Raya)
6) Kategori Video Kreatif: Johan - Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Jit Sin, Pulau Pinang (e-Vision)