Cekal kejar ilmu, usahawan tamatkan PhD lepas 9 tahun

Iklan
Mohamad Idris (tengah) bersama isteri dan anak yang hadir meraikan kejayaannya sempena Majlis Ijazah Pemasyhuran Pro-Canselor dan Konvokesyen UMK ke-14.

Seorang usahawan dari Sarawak, Dr Mohamad Idris Rosdi, 59, berjaya menamatkan pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam jurusan Perniagaan dan Pentadbiran di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) selepas sembilan tahun mengharungi pelbagai cabaran.

Beliau yang memulakan pengajian pada 2014 berkata, antara kekangan utama yang melambatkan pengajiannya ialah pandemik Covid-19 yang menyebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Iklan
Iklan

"Pengajian ini sepatutnya tamat dalam tiga tahun, namun banyak halangan termasuk pandemik hingga menyukarkan proses pembelajaran jarak jauh dari Sarawak,” katanya ketika ditemui sempena Majlis Ijazah Pemasyhuran Pro-Canselor dan Konvokesyen UMK ke-14 di sini.

Menurutnya, beliau sanggup berbelanja kira-kira RM100,000 sepanjang tempoh pengajian termasuk kos ulang-alik dari Sarawak ke Kelantan kerana tertarik dengan kepakaran tenaga pengajar dan penekanan UMK terhadap bidang keusahawanan.

Iklan

"Pensyarah UMK juga memberi komitmen tinggi dengan datang ke Sarawak untuk memberi syarahan. Ini antara faktor saya terus bersemangat selain sokongan isteri dan anak-anak,” katanya.

Bapa kepada empat anak itu turut berkongsi hasratnya untuk menyampaikan ilmu yang diperoleh kepada generasi muda.

Iklan

"Saya tidak kisah menghabiskan sebulan untuk satu subjek kerana ilmu amat penting. Kita perlu cekal dan tidak ketinggalan dalam usaha memartabatkan pendidikan negara," ujarnya.