Nasi goreng tomyam disyaki punca 43 pelajar keracunan

Iklan
Sivanesan turut meninjau kualiti penyimpanan bahan mentah yang dikendalikan pihak kantin dalam lawatannya di Sekolah Menengah San Min.

Keracunan makanan melibatkan 43 pelajar Sekolah Menengah San Min, Teluk Intan, Perak dua minggu lalu disyaki berpunca daripada nasi goreng tomyam yang disediakan oleh pihak asrama.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, kes mula dikesan apabila dua pelajar mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta pada 22 April lalu disusuli notifikasi rasmi ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hilir Perak dua hari kemudian.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, hasil pengesanan kes secara aktif mendapati berlaku pertambahan 41 orang lagi pelajar berusia 13 hingga 18 tahun yang mempunyai gejala keracunan makanan.

"Pertambahan itu menjadikan jumlah kes sebanyak 43 daripada 563 pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Enam yang terdedah dengan kadar serangan 7.6 peratus.

Iklan

"Gejala yang dilaporkan ialah sakit perut sebanyak 76.7 peratus, cirit-birit (62.8 peratus), muntah (51.2 peratus) dan demam (16.3 peratus)," katanya ketika melawat sekolah persendirian (SUWA) tersebut di Jalan Sungai Nibong di sini pada Selasa.

Sivanesan berkata, kesemua pelajar diberikan rawatan pesakit luar dan tiada yang dimasukkan ke wad.

Iklan

Tambah beliau, dua sampel klinikal didapati positif masing-masing untuk jangkitan norovirus dan sapovirus.

Sivanesan

"Siasatan lanjut yang dijalankan mengesyaki punca awal jangkitan daripada menu nasi goreng tomyam yang disediakan asrama pada atau sebelum 21 April.

"Berdasarkan siasatan terdapat pencemaran silang berlaku pada makanan namun siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar wabak keracunan makanan ini berikutan masih menunggu keputusan sampel air," katanya.

Sivanesan berkata, arahan penutupan telah dikeluarkan di bawah Seksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 berkuat kuasa serta-merta.

"Hasil pemeriksaan kebersihan kantin sekolah oleh PKD Hilir Perak pada 25 April lalu mendapati tahap kebersihan adalah tidak memuaskan.

"Pihak kantin telah mengambil tindakan penambahbaikan seperti yang diarahkan dan setelah penilaian semula dijalankan, premis telah dibenarkan beroperasi semula selepas empat hari ditutup," katanya.