Seramai 80 pelajar sekolah rendah daripada komuniti Orang Asli Negeri Sembilan mengambil bahagian dalam program pendidikan khas khusus bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) iaitu MedSTEM Explorers 2025.
Program pendidikan inovatif itu dianjurkan Fakulti Sains Kesihatan, KPJ Healthcare University (KPJU) dengan kolaborasi Jabatan Pendidikan Negeri, Negeri Sembilan dan Pejabat Ahli Parlimen Rasah.
Pengarah program, Profesor Dr Norhayati Mohd Zain berkata, MedSTEM Explorers dirangka memperkenalkan pelbagai cabang profesion kesihatan kepada murid seperti radiografi, jururawat, farmasi, fisioterapi dan terapi pemulihan cara kerja.
"Aktiviti-aktiviti praktikal seperti eksperimen sains, pembinaan model tubuh manusia dan simulasi kesihatan membolehkan murid memahami konsep STEM dalam konteks sebenar.
"Mereka juga dapat mengasah kebolehan bekerja dalam kumpulan serta menyelesaikan masalah secara kreatif,” katanya.
Empat sekolah yang mewakili daerah Seremban, Kuala Pilah, Jelebu dan Jempol adalah Sekolah Kebangsaan (SK) (Orang Asli) Sungai Sampo, SK (Orang Asli) Senibai, SK (Orang Asli) Putra serta SK (Orang Asli) Tekir selaku tuan rumah.
Program ini melibatkan seramai 25 mahasiswa dan tiga pensyarah KPJU daripada pelbagai kursus termasuk Pengimejan Perubatan, Farmasi, Jururawat, Fisioterapi dan Terapi Cara Kerja.
Secara tidak langsung, ia memberi tumpuan kepada pendedahan awal terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dengan pengkhususan kepada sektor kesihatan, khusus untuk pelajar luar bandar.
Inisiatif itu selari dengan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan penglibatan murid daripada kumpulan minoriti dalam pendidikan berasaskan STEM.
Dengan kejayaan pelaksanaan MedSTEM Explorers 2025, KPJU dan rakan strategik turut berharap agar program tersebut dapat diperluaskan untuk melahirkan generasi baharu yang berwawasan sekaligus menyumbang kepada pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang kesihatan negara.