Penggunaan vape semakin popular, tetapi adakah kita bersedia dengan risikonya?

Iklan
Vape dianggap sebagai alternatif yang lebih selamat daripada rokok konvensional, namun penggunaan dan kesan jangka panjangnya masih menjadi perdebatan hangat dalam kalangan pakar kesihatan.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, penggunaan rokok elektronik atau dikenali sebagai vape telah meningkat secara mendadak di Malaysia dan menjadi satu fenomena popular dalam kalangan semua peringkat usia terutamanya remaja dan golongan muda.

Vape dianggap sebagai alternatif yang lebih selamat daripada rokok konvensional, namun penggunaan dan kesan jangka panjangnya masih menjadi perdebatan hangat dalam kalangan pakar kesihatan.

Iklan
Iklan

Fenomena ini bukan sahaja melibatkan aspek kesihatan, tetapi juga merangkumi dimensi sosial, ekonomi dan undang-undang yang mempengaruhi bagaimana cara masyarakat melihat dan mengamalkan penggunaanya.

Vape telah berkembang daripada hanya sebagai pengganti rokok kepada simbol gaya hidup yang menarik bagi sesetengah individu.

Iklan

Terdapat sesetengah individu beranggapan bahawa mereka akan kelihatan lebih macho apabila menggunakan rokok elektronik di khalayak ramai dan mereka turut beranggapan vape mampu menghilangkan tekanan.

Walaupun iklan dan promosi menyatakan vape sebagai pilihan yang lebih baik, kebimbangan terhadap potensi risiko kesihatan terutama dalam kalangan remaja dan belia terus meningkat.

Iklan

Dengan wujudnya pelbagai perisa dan reka bentuk menarik, vape mampu menarik perhatian pengguna baru yang mungkin tidak pernah merokok sebelumnya.

Tidak hairanlah remaja berumur 15 tahun ke bawah sudah pandai menggunakan vape disebabkan perasaan ingin mencuba perkara baru yang tinggi dalam diri mereka.

Kesan kesihatan penggunaan vape

Salah satu aspek yang sering dibahaskan mengenai vape ialah kesannya terhadap kesihatan.

Hampir kesemua pengguna vape percaya bahawa penggunaan rokok elektronik adalah lebih selamat berbanding dengan rokok konvensional kerana vape tidak mengandungi bahan pembakaran yang menghasilkan tar.

Walaupun vape mungkin kurang berbahaya berbanding dengan rokok, ini tidak bermakna bahawa vape tidak memberi kesan buruk terhadap kesihatan.

Menurut kajian diterbitkan Centers for Disease Control and Prevention, penggunaan vape masih boleh memberi kesan buruk kepada paru-paru terutamanya apabila mengandungi bahan kimia seperti nikotin dan bahan perasa lain disedut dalam bentuk aerosol.

Walaupun nikotin dalam rokok elektronik mungkin kurang berbahaya berbanding tar yang terdapat dalam rokok konvensional, namun ia masih boleh menyebabkan ketagihan dan mempunyai kesan buruk terhadap sistem saraf.

Kajian juga turut mendapati bahawa peratusan remaja yang mungkin akan mula merokok rokok konvensional adalah lebih tinggi pada masa hadapan.

Di Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memberi amaran tentang bahaya vape, terutamanya dalam kalangan belia.

Walaupun vape tidak berbau dan memberi bau menarik, namun vape tetap bahaya dan mampu memberi kesan buruk terhadap kesihatan terutamanya penyakit paru-paru yang serius disebabkan oleh penggunaan bahan kimia yang tidak terkawal dan secara berlebihan.

Tiada statistik data jelas mengenai kesan jangka panjang penggunaan vape, namun terdapat beberapa kes kecemasan yang dilaporkan di hospital tempatan dikaitkan dengan penggunaan vape secara berlebihan.

Baru -baru ini, seorang remaja dikejarkan ke hospital disebabkan pengambilan vape berperisa cendawan (magic mushroom) mengandungi bahan aktif psilocybin iaitu sejenis bahan aktif halusinogen yang sangat kuat.

Penggunaan vape berperisa cendawan sangat bahaya dan mempengaruhi saraf otak sekali gus menyebabkan halusinasi, yang boleh menganggu persepsi tentang realiti.

Ini boleh menyebabkan kecelaruan mental, kebimbangan yang melampau dan menyukarkan untuk menumpukan perhatian dalam melakukan sebarang aktiviti harian.

Industri vape di Malaysia

Di Malaysia, banyak pengusaha tempatan yang terlibat dalam pengeluaran dan penjualan produk vape.

Menurut anggaran, industri ini menghasilkan pendapatan bernilai jutaan ringgit setiap tahun dan menyediakan pekerjaan kepada ribuan orang.

Walaupun industri ini menyumbang kepada ekonomi negara, ia juga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pakar kesihatan yang bimbang akan kesan jangka panjang kesihatan generasi muda yang terdedah dengan penggunaan vape.

Ketiadaan penguatkuasaan ketat terhadap penjualan produk vape juga menyebabkan peningkatan penjualan produk yang tidak diiktiraf oleh KKM.

Hampir kesemua produk ini tidak menjalani ujian keselamatan ketat dan mungkin mengandungi bahan berbahaya yang boleh menjejaskan kesihatan pengguna.

Tambahan pula, terdapat laporan mengenai produk vape diseludup masuk ke negara ini yang memburukkan lagi masalah penguatkuasaan undang-undang.

Bagi sesetengah pihak, industri vape dilihat sebagai peluang perniagaan menguntungkan terutamanya kerana permintaan sangat tinggi dalam kalangan belia.

Namun, tanpa kawalan efektif, industri ini boleh menjadi satu ancaman kepada kesihatan orang awam. Kerajaan perlu mencari keseimbangan antara membenarkan industri ini berkembang dan memastikan keselamatan pengguna terjamin.

Penggunaan vape di Malaysia merupakan isu yang kompleks. Walaupun vape sering dianggap sebagai satu alternatif lebih selamat berbanding dengan rokok, namun vape tetapa membawa risiko kesihatan serius terutamanya dalam kalangan remaja.

Kerajaan dan masyarakat perlu bekerjasama untuk memastikan bahawa penggunaan vape dapat dikawal dan dipantau secara efektif terutamanya dalam kalangan golongan muda.

Dengan pendekatan berkesan, Malaysia boleh mengurangkan risiko berkaitan dengan penggunaan vape dan melindungi kesihatan rakyatnya pada masa hadapan.

Maklumat Penulis:

1) Mahasiswa Tahun Akhir, Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan Kepujian, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Shaydahtul Shaykinah Kamal

2) Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia (ECO4373) dan Pensyarah Kanan, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, UMT, Jaharudin Padli

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my