Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus membuktikan reputasinya sebagai institusi unggul dalam melahirkan pendidik bertaraf global.
Terbaharu, empat alumni cemerlang mereka telah terpilih untuk mengikuti program mobiliti antarabangsa latihan mengajar selama sebulan di China sekali gus menandakan satu lagi pencapaian membanggakan buat universiti berprestij itu.
Pemilihan Tharushiny Francis Xaviar, Farah Nur Izzah Abdul Rahman, Hamidah Kifran dan Nur Hafiza Rusli, masing-masing graduan Sarjana Muda Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL), Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) jelas mencerminkan kualiti dan daya saing tinggi graduan UPSI serta membuktikan bahawa universiti ini sentiasa melahirkan tenaga pengajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah bersedia berbakti di pentas antarabangsa.
Difahamkan, sepanjang sebulan berada di sana, mereka akan mengajar Bahasa Inggeris dan terlibat secara aktif dalam aktiviti kokurikulum bahasa serta mempromosikan budaya Malaysia.
Selain graduan UPSI, turut serta dalam rombongan itu ialah dua kakitangan akademik FBK, Dr Farah Natchiar Mohd Khaja Hameed Maricar dan Azura Mat Said yang ditugaskan menyelia peserta serta memperkukuh hubungan dua hala antara UPSI dan institusi pendidikan di China.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff menzahirkan penghargaan terhadap pemilihan graduannya dan menyifatkan kejayaan itu sebagai bukti kualiti program TESL UPSI dan kebolehpasaran alumninya di peringkat global.
"Ini bukan sekadar peluang mobiliti, tetapi satu pengiktirafan terhadap keupayaan graduan kita untuk bersaing dan memberi impak dalam sistem pendidikan antarabangsa.
"Ia juga mencerminkan keyakinan institusi luar terhadap standard latihan perguruan di UPSI,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pusat Alumni UPSI, Dr Omar Firdaus Mohd Said berkata, program mobiliti tersebut merupakan antara inisiatif terpenting dalam mendokong peranan alumni sebagai pemangkin hubungan strategik antara UPSI dan dunia luar.
"Pusat Alumni amat menyokong penyertaan bekas pelajar dalam platform seperti ini kerana ia membuktikan bahawa graduan UPSI tidak hanya cemerlang di dalam negara, malah turut diyakini oleh institusi luar.
"Penglibatan mereka dalam program latihan mengajar antarabangsa juga memberi impak besar terhadap promosi universiti dan program akademiknya secara global.
"Melalui interaksi dengan pelajar dan pendidik di China, ia dapat memperkenalkan identiti UPSI, budaya Malaysia dan kekuatan sistem pendidikan kita," katanya.
Untuk rekod, program mobiliti antarabangsa latihan mengajar merupakan inisiatif FBK, UPSI dengan kerjasama institusi pendidikan terkemuka, Shangqiu Science and Technology Professional School, China.
Program yang berlangsung selama sebulan bermula 12 Mei hingga 11 Jun depan bertempat di Henan, China, bukan sahaja membuka ruang pembelajaran baharu kepada para alumni, malah memberi peluang untuk mereka menimba pengalaman mengajar dalam persekitaran budaya dan sistem pendidikan yang berbeza.