Pinggan mangkuk, persalinan peribadi dan perabot milik Raja Perempuan Tengku Anis akan diabadikan dalam sebuah galeri khas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Zainab (1) (SMZ), Jalan Telipot, Kota Bharu, Kelantan.
Lebih menarik, kelas yang diubah suai sebagai Galeri Diraja Tengku Anis itu sudah berusia lebih 80 tahun dan telah diwartakan sebagai bangunan warisan.
Pengerusi Alumni Sekolah Menengah Zainab (SEMENZA), Profesor Datuk Dr Nik Maheran Nik Muhammad berkata, pembinaan galeri tersebut sesuai diadakan di sebuah sekolah yang kini berusia 88 tahun.
"Kami mengambil inisiatif ini selepas menerima idea daripada Raja Perempuan Tengku Anis untuk menubuhkan galeri yang dijangka siap akhir Jun depan," katanya ketika meninjau galeri itu pada Rabu.
Jelas beliau, galeri tersebut juga akan mengangkat kembali sejarah SMZ yang merupakan antara sekolah tertua di negara ini serta telah melahirkan ramai cendekiawan termasuk bekas Menteri Pelancongan, Tan Sri Ng Yen Yen dan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz.
Dalam pada itu, Nik Maheran memberitahu bahawa bekas pelajar juga digalakkan menyumbang terutama gambar-gambar semasa di sekolah, sebarang anugerah yang pernah diterima daripada keluarga Diraja Kelantan, selain sumbangan wang tunai.
Jelas beliau, bagi merealisasikan hasrat tersebut, Tengku Anis turut memberi sumbangan peribadi bagi menaik taraf kelas terbabit dan menjadikan galeri itu lebih ceria.
"Alumni SMZ yang mahir dalam dekorasi serta reka bentuk boleh tampil untuk bekerjasama memastikan galeri ini lebih menarik dan moden," katanya.
Tambah beliau lagi, galeri berkenaan juga akan ditambah baik dari semasa ke semasa termasuk pembinaan 'walk of fame' atas nama penyumbang, pondok ilmu untuk kemudahan pelajar dan peralatan dekorasi luar di kawasan galeri.