Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan bahawa pelajar tahfiz cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan menerima tajaan biasiswa jika melanjutkan pelajaran di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Poly-Tech Mara (UPTM).
Ahmad Zahid berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dalam masa terdekat dengan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bagi merealisasikan hasrat berkenaan.
"Biasiswa 100 peratus ini memang diamalkan oleh Institut Pendidikan MARA (IPMA) kepada pelajar-pelajar cemerlang dan untuk (pengambilan) pelajar UniKL dan UPTM, kita akan beri keutamaan kepada pelajar maahad tahfiz pada tahun ini.
"Selain mereka menjadi huffaz atau penghafal al-Quran, mereka juga akan menjadi ahli profesional (selepas tamat belajar)," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Graduasi Huffaz dan Apresiasi Kecemerlangan Ulul Albab 2025, Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab Melaka pada Sabtu.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab Melaka merangkap Ahli Majlis, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Profesor Datuk Dr Mizan Hitam.
Seramai 82 pelajar menyelesaikan hafazan 30 juzuk al-Quran sepanjang 2024 manakala 46 pelajar mendapat sijil penghargaan SPM 2024 pada majlis berkenaan.
Mengulas mengenai sambutan Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada 11 hingga 13 Jun depan, Ahmad Zahid berkata, ia akan membawa kelainan dengan beberapa elemen baharu.
Beliau berkata, elemen-elemen berkenaan antaranya termasuklah kenderaan elektrik (EV), teknologi maklumat (IT) dan e-Sukan.
"Kita akan membuka seluas-luasnya kepada bakal peserta atau pelajar yang memasuki TVET ini untuk melihat pameran, peluang-peluang yang akan mereka peroleh apabila berdaftar di institusi TVET di seluruh negara ini.
"Selain itu, mereka juga dapat meneliti peluang pekerjaan dan juga tangga gaji yang akan dinikmati apabila keluar daripada institusi TVET ini," katanya. - Bernama