1,974 graduan terima skrol pada Konvokesyen MSU ke-35

Iklan
Seramai 1,974 graduan daripada 126 program pengajian diraikan dalam Majlis Konvokesyen Management and Science University (MSU) ke-35.

Seramai 1,974 graduan daripada 126 program pengajian diraikan dalam Majlis Konvokesyen Management and Science University (MSU) ke-35 yang berlangsung selama dua hari bermula Sabtu lalu di Dewan Canselor MSU, Shah Alam.

MSU dalam kenyataan memaklumkan, majlis itu membabitkan empat sidang dan menyaksikan 47 graduan menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), 64 menerima Ijazah Sarjana, 887 pula Ijazah Sarjana Muda dan 976 lagi menerima Diploma.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Fakulti Teknologi Maklumat dan Kejuruteraan (FISE) mencatatkan bilangan program pengajian tertinggi iaitu 27 program, manakala Fakulti Pengurusan Perniagaan dan Pengajian Profesional (FBMP) menyumbang bilangan graduan terbesar seramai 509 orang.

"Tiga program baharu turut menyaksikan kohort sulung graduan diraikan iaitu Master in Counselling and Guidance, Master in Early Childhood Education dan Bachelor in Liberal Arts (Kepujian)," menurut kenyataan itu lagi.

Iklan

Majlis konvokesyen itu disempurnakan oleh Canselor MSU iaitu Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin di MSU Seksyen 13 di sini.

Hadir sama ialah Presiden dan Pengasas MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid; Naib Canselor MSU, Profesor Puan Sri Datuk Dr Junainah Abd Hamid; ahli Lembaga Universiti serta barisan pengurusan kanan universiti.

Iklan

Menurut MSU, sebanyak lima kategori anugerah khas kecemerlangan turut diberikan kepada 49 graduan yang menerima plak, wang tunai serta biasiswa sumbangan Yayasan MSU bagi menyambung pengajian lanjutan di universiti itu.

"Penerima Anugerah Pingat Emas Canselor ialah Amelia Shafinaz Azmi Faez (Bachelor in Liberal Arts - Kepujian), manakala Putri Ely Qistina Shariff (Bachelor in International Business - Kepujian) dan Hana Nabilah Mustafa Kamal (Diploma in Graphic Design) menerima Anugerah Presiden.

"Jesuvan Raj Paul dari program Bachelor in Music Technology (Kepujian) pula menerima Mohd Shukri Yajid Outstanding Award," tambahnya.

Selain itu, MSU turut memaklumkan, seramai 26 graduan menerima Anugerah Akademik manakala 19 graduan menerima Anugerah Industri, dengan kerjasama 17 syarikat dan institusi termasuk MSU Pharma, MSU Medical Centre, Affin Bank, Institut Jantung Negara, Fire Fighter Industry, BilaBila Retail, Nelson’s Franchise, Arba Travel dan Focus Point Vision Care Group.

"Kerjasama strategik MSU dengan lebih 2,000 rakan industri menerusi University Industry Advisory Panel (UIAP) turut memperkukuh penawaran program berkualiti serta relevan dengan kehendak semasa industri.

"Usaha ini melahirkan graduan yang seimbang, holistik, berkemahiran insaniah, teknikal serta memiliki jaringan sosial yang luas," katanya.

Dari kanan: Hana Nabilah, Putri Ely Qistina, Amelia Shafinaz dan Jesuvan Raj.

Transformasi MSU

Selaras dengan agenda pendidikan tinggi negara dan global, pelbagai transformasi dilaksanakan MSU yang memberi tumpuan kepada kebolehpasaran, keusahawanan, pengantarabangsaan, penyelidikan, kelestarian komuniti serta pembelajaran fleksibel dan sepanjang hayat.

Hasil Kajian Pengesanan Graduan 2024 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menunjukkan kadar kebolehpasaran graduan (GM) MSU mencecah 99.7 peratus dengan kadar bekerja (GE) 99 peratus, antara tertinggi di negara ini.

Tambahnya, pencapaian ini turut mendapat pengiktirafan Talentbank melalui The National Graduate Employability Index (GE Index), apabila MSU dinobatkan sebagai The Employers' Choice of University 2025.

Dalam QS World University Rankings (WUR) 2025 pula, MSU berada pada kedudukan ke-580 dunia; ranking 801-1,000 dalam Times Higher Education (THE) WUR 2025; ke-129 dalam QS Asia 2025; serta berada dalam kelompok 100 universiti terbaik dunia dalam Top 50 Under 50 Rankings.

"MSU juga tersenarai buat kali pertama dalam THE Impact Rankings 2024 (301-400) serta QS WUR: Sustainability 2025 (1,161st-1,180th). Ia turut menduduki tempat ke-7 dalam AppliedHE Private University Ranking: ASEAN 2025 dan dinobatkan sebagai Engaged & Sustainable University of the Year 2024 oleh ACEEU," katanya.

Menurut MSU lagi, dalam QS WUR by Subject 2025, subjek Hospitality & Leisure Management MSU berada di kedudukan ke-36 dunia dan kedua terbaik di Malaysia, manakala Art & Design berada di kedudukan 51-100 dunia dan nombor satu di Malaysia.

"Subjek Business & Management Studies pula disenaraikan ke-250 dunia dan kelima terbaik negara, diikuti Computer Science & Information Systems (701-750, ke-20 di Malaysia), serta penyertaan pertama bagi subjek Medicine (701-850, ke-20 di Malaysia).

"Usaha pengantarabangsaan MSU turut diperkukuh melalui program mobiliti pelajar seperti Global Mobility Programme (GMP), Global Leadership Programme (GLP), yang disokong melalui biasiswa SMILE (Scholarship for Mobility and International Learning Experiences) oleh Yayasan MSU," katanya.

Sehingga kini, MSU memiliki jaringan lebih 350 rakan universiti di seluruh dunia meliputi Asia Tenggara, Asia Timur, Asia Tengah, Timur Tengah, China, Eurasia, Eropah, Asia Barat dan Oceania – sejajar dengan moto MSU, Transforming Lives, Enriching Future.