Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi kelonggaran kepada semua Institusi Pendidikan Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS) untuk membuat pilihan sama ada menjalankan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian atau fizikal.
Ia susulan penutupan jalan sempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 yang akan berlangsung pada 26 hingga 28 Mei 2025 di ibu negara.
Menurut kenyataan media KPT, penutupan jalan dan kawalan keselamatan itu dijangka berlaku di sekitar Lembah Klang termasuk Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya
"Setiap IPT diminta untuk membuat semakan lokasi, masa dan tarikh laluan yang ditutup sepanjang 26 hingga 28 Mei ini untuk menentukan keperluan bagi PdP secara dalam talian.
"Ini bagi memastikan warga kampus tidak terkesan dengan kesesakan aliran trafik.
"Kementerian yakin dengan PdP secara dalam talian ini akan memberi kemudahan kepada warganya untuk merancang pergerakan dan dalam masa sama memastikan proses PdP berjalan lancar," ujarnya.
Sementara itu, KPT menggalakkan semua warga kampus untuk berhubung terus dengan pihak universiti masing-masing bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan pengurusan sesi PdP sepanjang tempoh berkenaan.