Siapa sangka, di sebalik angka-angka dan kiraan akaun yang sering memenuhi jadual harian, terselit bakat luar biasa dalam seni tari yang memukau.
Itulah keistimewaan graduan Diploma Perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Perak, yang pernah mengharumkan nama negara dalam empat pertandingan tarian antarabangsa.
Mahasiswa, Fariza Amira Abd Karim, 21, berkata, sokongan dan doa berterusan daripada keluarga membuatkan minatnya terhadap tarian semakin besar meskipun banyak halangan atau tekanan yang perlu dihadapi.
Walaupun terpaksa membahagikan masa untuk belajar dan minat, namun kecintaannya terhadap seni tari tidak pernah pudar, malah menjadi terapi serta sumber inspirasi untuk terus cemerlang dalam pembelajaran.
"Tekanan memang ada untuk seimbangkan antara tarian dengan belajar namun sokongan dan doa berterusan ahli keluarga khususnya ibu bapa saya membolehkan saya dapat mengharunginya hingga ke bergelar juara dalam tarian sekali gus bergelar graduan UiTM,” kata Fariza.
Anak kelahiran Puchong, Selangor itu sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang Perakaunan di UiTM Tapah.
Menceritakan pengalamannya, Fariza Amira memaklumkan kemampuan bergelar juara dalam pertandingan tarian di San Diego Amerika Syarikat dan Korea Selatan sebelum ini tidak boleh dilupakan.
Dia juga mengalami kecederaan lutut semasa menyertai pertandingan di Korea Selatan.
"Saya tak berhenti, saya teruskan dan ternyata ia menghadirkan suatu keputusan yang membanggakan.
"Berdepan dengan peserta-peserta hebat dari seluruh dunia terutamanya Amerika Syarikat bukannya satu tugas mudah.
"Tambah pula kita datang dari Asia selalu dianggap sebagai tidak kompetitif, namun saya berjaya buktikan sebaliknya,” katanya.
Fariza berkongsi bahawa dia bercita-cita untuk menjadi pensyarah dan menyimpan hasrat untuk menaikkan lagi imej akademi tarian yang dikendalikan keluarga iaitu Zeppo Youngsterz.