Alumni KKTM Ledang raih Ijazah Kelas Pertama dari universiti luar negara. Geniusnya Nursyazana!

Iklan
Nursyazana mengharumkan nama Mara dan Malaysia menerusi kejayaannya meraih Ijazah Kelas Pertama dari University of Technology Sydney.

Alumni Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Ledang, Johor, Nursyazana Shaiful Bahrin mencatat kejayaan cemerlang apabila menamatkan pengajian di University of Technology Sydney, Australia dengan Ijazah Kelas Pertama.

Pengumuman rasmi kejayaan itu dibuat dalam majlis konvokesyen universiti tersebut baru-baru ini sekali gus menjadi bukti pencapaian luar biasa dalam kalangan pelajar Institusi Pendidikan MARA (IPMA).

Iklan
Iklan

Lebih manis, kejayaan itu bukan hadir sekelip mata, sebaliknya hasil usaha gigih Nursyazana yang telah menempuh perjalanan pendidikan dalam ekosistem Majlis Amanah Rakyat (Mara) sejak di bangku sekolah menengah lagi.

Menurut perkongsian dalam Facebook Mara, Nursyazana memulakan pendidikan menengahnya di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kubu Bharu, Selangor dari Tingkatan Satu hingga Tiga.

Iklan

Kemudian, anak kelahiran Selangor itu menyambung pula pembelajaran ke MRSM Taiping, Perak (Tingkatan Empat dan Lima) sehinggalah berjaya ke KKTM Ledang dalam jurusan Diploma Kejuruteraan Elektronik Bioperubatan (Diagnostik).

Menerusi rekod pencapaian akademik yang cemerlang dan komitmen tinggi dalam setiap tugasan, Nursyazana terpilih menyambung pengajian ke luar negara menerusi Program Pelajar Cemerlang Institusi Pendidikan MARA (IESP).

Iklan

Difahamkan, IESP adalah satu inisiatif khas bagi memberi peluang kepada pelajar berprestasi tinggi melanjutkan pengajian di universiti terkemuka dunia.

Sementara itu, Mara memaklumkan, pencapaian Nursyazana membuktikan bahawa sistem sokongan dan pembangunan holistik yang ditawarkan melalui IPMA berupaya mencungkil potensi luar biasa dalam kalangan pelajar bumiputera.

INFO

  • Ijazah Kelas Pertama merujuk kepada pencapaian akademik tertinggi dalam kalangan pelajar yang menamatkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda.
  • Ia biasanya diberikan kepada pelajar yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) dalam kategori tertinggi.