'Ambil ijazah kedua demi minat'

Iklan
Mohammad Auzaie sewaktu menerima skrol pada konvokesyen UMK, baru-baru ini.

Dua graduan kongsi kisah antara cita-cita dan kasih keluarga

Demi mengejar impian, ramai pelajar sanggup melangkah lebih jauh termasuk menempuh laluan yang tidak konvensional seperti mengambil ijazah kedua kerana minat yang mendalam terhadap sesuatu bidang.

Begitulah kisah inspirasi Mohammad Auzaie Afandii, 33, yang melanjutkan pengajian dalam bidang Perubatan Veterinar selepas menamatkan Ijazah Sains Perubatan di University College Cork, Ireland.

Iklan
Iklan

Keputusan yang mencerminkan keberanian meninggalkan zon selesa itu membuktikan minat yang mendalam boleh menjadi pendorong utama untuk menghadapi segala cabaran.

Mohammad Auzaie sewaktu menerima skrol pada konvokesyen UMK, baru-baru ini.

"Saya pilih Universiti Malaysia Kelantan (UMK) kerana hanya dua universiti menawarkan bidang perubatan veterinar.

Iklan

"Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) di UMK juga memberi peluang kedua kepada saya, walaupun latar belakang akademik berbeza daripada kebanyakan pelajar lain,” katanya penuh syukur kepada Sinar Bestari.

Anak kelahiran Wilayah Persekutuan Labuan itu turut melakar sejarah peribadi apabila menerima Anugerah Pelajaran Diraja yang dikurniakan oleh Tuanku Pro Canselor UMK, Tengku Muhammad Fakhry Petra Sultan Ismail Petra.

Iklan

Sebagai anak bongsu daripada tiga beradik, kejayaan itu amat bermakna buat Auzaie yang menzahirkan rasa bangga dan terharu kerana mampu menghadiahkan pencapaian tersebut kepada keluarganya.

"Saya sangat gembira dengan pencapaian ini. Ia hasil usaha belajar bersungguh-sungguh dan berkat doa serta sokongan keluarga."Semasa belajar, saya merancang apa yang ingin dipelajari, menyemak topik lebih awal dan memahami objektif subjek agar dapat belajar dengan lebih fokus,” katanya.

Kini, Auzaie menyambung pengajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Patologi Veterinar secara laluan pantas sekali gus menapak dalam bidang yang diminatinya sejak sekian lama.

Hadiah buat ibu

Jika kejayaan Auzaie menjadi bukti semangat juang seorang pelajar, kisah Nor Ainatasha Mohamad Hamizi, 25, pula menyentuh hati kerana berakar daripada kasih sayang dan pengorbanan seorang ibu.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Agroteknologi) dengan Kepujian, Fakulti Industri Asas Tani (FIAT), UMK ini menyifatkan ibunya, Syakimah Md Noor, 48, sebagai sumber kekuatan sehingga mampu menggenggam segulung ijazah.

Nor Ainatasha (kiri) gagal menahan sebak sebaik bertemu ibunya, Syakimah yang menghadiri konvokesyen dengan berkerusi roda.

"Ibu sangat berharap saya menyambung pengajian dalam bidang agropertanian kerana percaya ia mampu menjana pendapatan yang baik dan memberi masa depan yang cerah," katanya.

Kongsi Nor Ainatasha, Syakimah menyimpan impian agar keluarganya memiliki ladang pisang bagi memperluaskan perniagaan kerepek pisang yang diusahakan suaminya, Mohamad Hamizi Abdul Majid, 51.

Demi memenuhi hasrat orang tuanya, Ainatasha memilih menyambung pengajian dalam bidang itu di UMK sejurus tamat menduduki Sjili Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), meskipun sedar perjalanan itu bukanlah mudah.

"Alhamdulillah, walaupun terpaksa menempuh pelbagai cabaran, akhirnya saya berjaya menamatkan pengajian. Kejayaan ini adalah untuk keluarga saya,” ujarnya penuh syukur.

Nor Ainatasha bersama keluarganya.

Momen yang paling menyentuh perasaan ketika majlis konvokesyen ialah kehadiran ibu tercinta yang menghidap angin ahmar sejak dua tahun lalu.

Dengan penuh azam, Syakimah hadir ke majlis itu menaiki kerusi roda, ditemani dua lagi anaknya untuk melihat kejayaan sulung keluarga itu di pentas.

"Tanpa sokongan ibu, saya mungkin tidak akan sampai ke tahap ini. Saya harap kejayaan ini menjadi permulaan untuk mengubah nasib keluarga kami,” katanya sambil mengesat air mata.