Murid sekolah seawal sembilan tahun wajar didedahkan dengan penggunaan dron bagi memupuk minat dalam bidang teknologi yang berpotensi untuk dikembangkan ke peringkat lebih tinggi pada masa akan datang.
Ketua Unit Automatif dan Dron Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) Shah Alam, Zuraidy Shamsudin berkata, pendedahan pada usia muda amat penting bagi menarik minat kanak-kanak selari dengan perkembangan pesat teknologi dron masa kini.
Beliau berkata, menerusi Pertandingan Dron Junior Madani Rakyat yang diadakan sempena Program Madani Rakyat (PMR) Johor di Toppen Shopping Centre di sini, sambutan diterima amat menggalakkan dengan penyertaan lebih 100 pelajar sekolah serta orang awam.
"Usaha sebegini wajar diberi pendedahan awal khususnya murid sekolah rendah. Apabila mereka memasuki alam sekolah menengah di tingkatan dua, ada dalam kalangan mereka didedahkan dengan kelas pengaturacaraan, yang mempunyai dengan teknologi dron.
"Mereka boleh kembangkan minat dron dengan pengaturcaraan yang telah dipelajari ke tahap lebih tinggi pada masa akan datang," katanya pada Ahad.
Pertandingan mengendalikan dron yang dikategorikan sebagai sukan udara itu adalah anjuran Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) turut mendapat kerjasama Majlis Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (MTVET).
Beliau yang juga ketua penyelaras program berkata, dron mempunyai peluang kerjaya pada masa hadapan kerana teknologi dan kemahiran berkenaan digunakan secara meluas termasuk bidang pertanian, fotografi dan perfileman.
"Bakat tempatan ini boleh diketengahkan ke peringkat antarabangsa dan Malaysia sendiri ada pasukan menghantar kontinjen ke pertandingan World Skills Championship (WSC)," katanya.
Pertandingan ini dibahagikan kepada tiga kategori iaitu sekolah rendah, sekolah menengah dan terbuka untuk orang awam, dengan hanya 27 peserta layak untuk ke pertandingan akhir mengikut kategori.
Peserta kategori sekolah rendah Muhammad Aisy Fareeq Abdus Shakur, 12, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kencana, Simpang Renggam berkata dia sering menyertai pertandingan mini dron kerana minat mendalam terhadap teknologi itu.
"Saya dah banyak kali sertai pertandingan sebegini dan perkara paling penting mengendalikan dron adalah masa pelepasan dan melepasi halangan sebab ia sensitif dan perlukan kesabaran," katanya.
Bagi Avery Li Theepakaran, 16, pelajar Sekolah Menengah Taman Desa Jaya di sini berkata ini merupakan penyertaan pertamanya dalam pertandingan itu.
PMR 2025 Johor yang bertemakan"Belia Madani, Yakin Boleh!" yang berakhir hari ini, menampilkan pelbagai aktiviti menarik seperti reruai pameran, sesi interaktif bersama agensi kerajaan, pameran TVET, karnival kerjaya serta jualan Madani. - Bernama