Pelajar Tingkatan 5 cedera dikejar anjing liar

Iklan
Darius Hazreeq cedera pada kaki, tangan dan badan dalam kejadian dikejar tiga ekor anjing liar di kawasan Rasah Jaya Sabtu lalu. - Foto: Darius Hazreeq

Seorang pelajar Tingkatan Lima cedera selepas terjatuh akibat dikejar tiga ekor anjing liar ketika menunggu perkhidmatan e-hailing di kawasan Rasah Jaya, Seremban, Negeri Sembilan Sabtu lalu.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 12 tengah hari itu menyebabkan mangsa, Darius Hazreeq Mohd Nor Azlan, 17, mengalami kecederaan dan kini sedang mendapatkan rawatan di hospital, selain turut berdepan dengan trauma.

Iklan
Iklan

Menceritakan kejadian terbabit, anak kedua daripada empat beradik itu berkata, ketika kejadian dia baharu sahaja selesai mengikuti kelas tuisyen dan sedang menunggu perkhidmatan e-hailing untuk ke sekolah bagi menghadiri persiapan sukan.

"Saya berdiri di tepi rumah kedai tempat pusat tuisyen dan sambil menunggu Grab, saya lihat telefon.

Iklan

"Tiba-tiba, dari jauh saya nampak seekor anjing berlari ke arah saya, kemudian disusuli dua ekor lagi,” katanya kepada wartawan pada Isnin.

Menurutnya, dia yang panik terus melarikan diri, namun terus dikejar ketiga-tiga haiwan berkenaan, sebelum terjatuh di tengah jalan.

Iklan

"Salah seekor sempat menggigit selipar saya, namun berjaya dihalau oleh orang awam yang kebetulan berada di lokasi," ujarnya.

Darius Hazreeq berkata, akibat terjatuh, dia mengalami luka di bahagian kaki, tangan dan belakang badan.

"Orang awam bantu memapah saya ke tepi jalan dan ibu saya yang datang ke lokasi kemudian membawa ke hospital untuk rawatan kecemasan.

"Saya pun terkejut diserang anjing secara tiba-tiba, sedangkan saya tidak membuat sebarang sentuhan mata dengannya," jelasnya.

Tambahnya, kejadian itu menyebabkan dia mengalami trauma, namun tidak pasti sama ada kawasan berhampiran pusat tuisyennya itu menjadi tempat anjing liar berkeliaran.

Sehubungan itu, Darius Hazreeq menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati sekiranya berada di kawasan yang berpotensi terdapat anjing liar.

"Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Saya sendiri pun ketika itu hanya berdiri dan melihat telefon, tiba-tiba dikejar," katanya.