8 Kumpulan Penyelidikan Universiti terima sijil pengiktirafan penyelidik GGPP

Iklan
Sebanyak 24 kumpulan penyelidikan menerima sijil penubuhan KPU bagi fasa tiga selepas melalui sesi audit dan penilaian ketat mengikut instrumen HiCoE KPT.

Sebanyak lapan Kumpulan Penyelidikan Universiti (KPU) menerima sijil pengiktirafan penyelidik Gegar Gamat Pemacu Perubahan (GGPP) kerana telah menghasilkan projek penyelidikan berinovasi dan berimpak tinggi.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Wan Kamal Mujani berkata, hasil projek-projek penyelidikan itu telah diterjemahkan untuk manfaat pihak berkepentingan dan mempunyai impak yang boleh diukur.

Iklan
Iklan

"Matlamat pengiktirafan ini adalah untuk memperkasa penyelidikan translasi UKM.

"Pengiktirafan yang dianugerahkan selepas sesi penilaian oleh pakar bidang dalam dan luar UKM adalah mengikut taraf penarafan bermula dari taraf satu sehingga taraf enam iaitu projek berkenaan telah mencapai taraf pengantarabangsaan.

Iklan

"Saya harap dengan pengiktirafan yang diberikan ini dapat menyerlahkan hasil penyelidikan berimpak tinggi oleh universiti yang berpotensi menjadi pemacu perubahan kepada pembangunan sosioekonomi, sains dan teknologi serta kesihatan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan dalam Majlis Penganugerahan Pengiktirafan Penyelidik GGPP dan Kumpulan Penyelidikan UKM baru-baru ini.

Iklan

Pada majlis itu, sebanyak 24 kumpulan penyelidikan menerima sijil penubuhan KPU bagi fasa tiga selepas melalui sesi audit dan penilaian ketat mengikut instrumen HiCoE Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Ini menjadikan jumlah keseluruhan Kumpulan Penyelidikan UKM sebanyak 120 kumpulan, dengan sasarannya adalah untuk menubuhkan 120 KPU dalam proses melestarikan kluster penyelidikan universiti.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Profesor Emeritus Datuk Dr Mohamad Abd Razak berharap, dengan terbentuknya Kumpulan Penyelidikan UKM itu, ekosistem penyelidikan universiti akan bertambah rancak dan aktif dengan pelbagai projek penyelidikan berbentuk translasi ke arah inovasi sosial.

"Impak penyelidikan yang terhasil dari KPU ini dapat disalurkan kepada pihak berkepentingan sama ada masyarakat, industri atau kerajaan dapat dicapai supaya limpahan manfaat tidak hanya dirasai oleh warga IPT, malah turut dinikmati industri dan komuniti selaras dengan konsep Malaysia Madani," katanya.