Setiap suara mempunyai potensi untuk memberi impak besar, namun banyak anak muda di Malaysia terperangkap di antara tuntutan budaya yang kuat dan keinginan untuk mengekspresikan diri mereka dalam masyarakat yang semakin menghargai pelbagai naskah.
Dalam dunia yang semakin canggih ini amat memudahkan individu untuk menyuarakan pendapat.
Namun, norma budaya tetap memainkan peranan yang penting dalam menentukan, mengehadkan, atau mempengaruhi cara mereka bersuara, terutamanya di kita yang masih kuat berpegang teguh pada tradisi.
Kebanyakan masyarakat Malaysia pada masa kini masih memegang teguh norma budaya yang menekankan nilai-nilai seperti kepercayaan agama, maruah keluarga, dan penghormatan terhadap autoriti.
Walaupun nilai-nilai ini memperkukuh identiti dan semangat kekitaan, ia juga seringkali membisukan suara-suara yang berbeza, sekaligus menghalang generasi muda daripada membebaskan suara secara terbuka.
Dalam isu-isu sensitif seperti politik, seksualiti, peranan jantina, atau agama, tekanan budaya yang terjalin begitu mendalam boleh menjadi sangat memeritkan.
Mereka yang berani ke hadapan dan lantang bersuara untuk memperkenalkan perspektif baharu sering kali berdepan dengan risiko tindakan disiplin, implikasi undang-undang dan pengasingan sosial.
Pada tahun 2020, negara dikejutkan dengan satu insiden yang menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat di mana mural wajah beberapa pemimpin negara yang dilukis oleh sekumpulan artis muda di dinding sebuah bangunan di Shah Alam telah diconteng dan dimusnahkan oleh pihak tidak dikenali.
Mural-mural tersebut bukan sekadar lukisan, tetapi simbol penghargaan rakyat terhadap barisan kepimpinan negara, termasuk Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan Ketua Pengarah Kesihatan ketika itu, yang memainkan peranan penting dalam menguruskan krisis pandemik COVID-19.
Pada awalnya, ia merupakan satu bentuk seni jalanan yang mengangkat semangat patriotisme dan penghormatan tetapi ianya bertukar menjadi medan kebencian apabila imej-imej tersebut dicemari dengan kata-kata kesat, simbol X besar, dan dakwat hitam pekat yang memadamkan wajah-wajah tokoh yang dilukis dengan penuh ketelitian dan niat murni.
Bekas Menteri Kerajaan Negeri Selangor, Rodziah Ismail menganggap tindakan vandalisme itu sebagai hasil daripada ‘politik kebencian’ terhadap pemimpin tertentu yang berada di dalam mural tersebut.
Isu ini semakin menjadi-jadi dalam kalangan masyarakat kerana mereka menganggap kelakukan vandalisme seperti menconteng itu adalah salah satu cara rakyat biasa seperti mereka untuk menyuarakan suara tetapi mereka tidak sedar bahawa kelakuan itu adalah sangat salah dan boleh dikenakan hukuman undang-undang.
Lukisan mural bukan sekadar hiasan, tetapi menjadi medium untuk menyampaikan mesej masyarakat sama ada tentang harapan, penghargaan, atau kritikan.
Vandalisme yang dilakukan atas dasar kebencian atau perbezaan pandangan bukanlah tindakan yang membina.
Dalam masyarakat yang menghormati hak asasi, perbezaan seharusnya diraikan dengan dialog dan saling menghormati, bukan dengan merosakkan hasil kreativiti orang lain yang bertungkus lumus menghasilkannya selama dua minggu dan suara komuniti.
Kebebasan bersuara dalam kalangan belia tidak semestinya bermaksud menjerit di jalanan atau menentang autoriti secara terbuka. Kadangkala, ia hadir dengan senyap seperti hasil seni.
Namun begitu, tindakan kecil juga membawa kesan yang besar, terutamanya dalam budaya di mana berdiam sering ditafsirkan sebagai tanda penghormatan.
Dalam era digital yang serba pantas ini, pertembungan antara norma budaya dan suara anak muda semakin jelas kelihatan.
Tetapi jalan penyelesaiannya bukan dengan menolak tradisi bulat-bulat, sebaliknya kita perlu mendekatinya dengan fikiran terbuka, hormat, dan berani.
Akhir sekali, anak muda di Malaysia hari ini semakin berani menyuarakan pandangan mereka, bukan kerana mereka ingin menentang, tetapi kerana mereka mahu didengari.
Mereka menggunakan pelbagai cara untuk meluahkan isi hati seperti ada yang menulis, ada yang bersuara di media sosial, dan ada juga yang melukis mural sebagai simbol harapan dan penghargaan.
Namun, apabila suara mereka dipadam dan tidak didengari, terdapat segelintir masyarakat yang mula menggunakan cara yang tidak sepatutnya seperti melakukan vandalisme di mural-mural yang telah dihasilkan oleh seniman di negara kita.
Hal ini kerana mereka menganggap hanya pandangan tertentu sahaja yang didengari. Jadi, mereka rasa dengan cara melakukan vandalisme ini dapat menyuarakan suara dan ekspresi mereka.
Sebagai masyarakat yang bersatu padu kita tidak boleh terus hidup dalam ketakutan untuk bersuara hanya kerana bimbang melanggar norma budaya.
Budaya dan tradisi memang penting kerana ia mencerminkan jati diri kita sebagai rakyat Malaysia.
Tetapi dalam masa yang sama, kita juga perlu memberi ruang kepada perubahan, terutama apabila ia datang daripada generasi muda yang penuh dengan idea segar dan semangat membina negara.
Maklumat penulis:
1) Pelajar Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Shah Alam, Nur Alieya binti Hamzah, See Media Through 4.0, Service Learning Malaysia - University For Society (SULAM).