Perakaunan, sebagai bidang kritikal dalam dunia perniagaan, terus berkembang seiring dengan perubahan ekonomi global.
Graduan perakaunan kini memiliki pelbagai peluang dalam sektor seperti perkhidmatan kewangan dan keusahawanan.
Sebagai lulusan jurusan itu, mereka memiliki asas yang kukuh dalam memahami dan menguruskan aspek kewangan sekali gus menjadikan golongan tersebut sangat diperlukan oleh pelbagai industri.
Di Malaysia, lebih daripada 40,000 akauntan bertauliah kini terlibat dalam pelbagai sektor.
Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA) meramalkan keperluan sekurang-kurangnya 60,000 akauntan bertauliah menjelang 2030.
Ini menggambarkan betapa pentingnya peranan akauntan terhadap ekonomi negara yang terus berkembang.
Berikut adalah pilihan kerjaya yang menarik minat graduan dan menjadikan perakaunan pilihan utama di peringkat pengajian tinggi:
1) Pegawai Kewangan - Menyediakan laporan kewangan untuk membantu pihak pengurusan dalam membuat perancangan belanjawan, analisis kewangan dan penetapan strategi untuk mencapai objektif kewangan syarikat.
2) Penganalisis Kewangan - Memberi nasihat kepada syarikat mengenai pelaburan, menilai keadaan kewangan syarikat dan meramal prestasi masa depan.
3) Pegawai Cukai - Memberikan nasihat berkaitan cukai, membantu dalam penyediaan penyata cukai dan merangka strategi untuk meminimumkan liabiliti cukai terutamanya dengan perubahan undang-undang cukai yang kerap.
4) Juruaudit - Mengesahkan rekod kewangan syarikat, menilai kepatuhan terhadap undang-undang dan memberi cadangan untuk memperbaiki sistem kawalan dalaman bagi memastikan integriti kewangan sesebuah organisasi.
5) Perakaunan Forensik - Menyelidik penyelewengan kewangan, penipuan atau salah laku kewangan dalam organisasi dan bekerja rapat dengan pihak berwajib untuk mengesan aktiviti kewangan yang mencurigakan.
6) Pengurus Risiko - Mengenalpasti, menilai dan mengurus risiko kewangan bagi sesebuah organisasi untuk meminimumkan kerugian kewangan terutamanya dalam dunia yang semakin tidak menentu.
7) Perunding Kelestarian - Menasihati syarikat tentang cara menguruskan kewangan dengan mematuhi prinsip-prinsip Kelestarian dan Alam Sekitar, Sosial and Tadbir Urus (ESG) dengan penuh integriti.
8) Pendidik - Pensyarah atau guru Perakaunan memainkan peranan penting dalam melatih pelajar untuk menjadi akauntan yang kompeten dan beretika dan mereka juga menjalankan penyelidikan untuk memajukan amalan industri.
9) Usahawan - Memulakan perniagaan dalam perkhidmatan perakaunan, perundingan kewangan atau firma percukaian.
10) Juruaudit Teknologi Maklumat - Mengaudit sistem teknologi maklumat untuk memastikan data kewangan terjamin dan mematuhi piawaian keselamatan yang diperlukan di mana memerlukan gabungan antara kemahiran perakaunan dan teknologi
Graduan perakaunan mempunyai pelbagai pilihan kerjaya yang terbuka luas, merangkumi sektor swasta dan awam di peringkat domestik dan antarabangsa.
Dengan kemahiran yang diperoleh semasa tempoh pengajian, graduan boleh memilih laluan sesuai dengan minat dan aspirasi, memastikan masa depan kerjaya stabil dan berkembang.
Kepentingan perakaunan tidak dapat dipandang remeh.
Ia menyediakan maklumat kewangan yang kritikal untuk pengambilan keputusan, memastikan kepatuhan terhadap undang-undang, mengukur prestasi syarikat, membina kepercayaan pelabur dan membantu dalam pengurusan risiko.
Oleh itu, bidang perakaunan bukan sahaja penting untuk individu dan syarikat tetapi juga untuk pertumbuhan ekonomi keseluruhan.
Maklumat Penulis:
Pensyarah Kanan, UNITEN Business School (UBS), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Kampus Sultan Haji Ahmad Shah, Muadzam Shah, Pahang, Nurul Nadiah Ahmad
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my