Seramai 46 pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) daripada keluarga kumpulan B40 menerima sumbangan komputer riba menerusi Program eKasih, sebagai inisiatif memperkasa akses pendidikan digital dalam kalangan mahasiswa.
Majlis penyerahan rasmi telah diadakan di kampus UMT baru-baru ini, menyaksikan wajah-wajah gembira yang menerima bantuan antaranya, pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Agroteknologi (Sains Tanaman), Syazwani Aqilah Nasil dan pelajar Diploma Perikanan, Iffah Nasuha Maria.
Kedua-dua penerima menyifatkan bantuan itu sebagai rahmat besar yang memudahkan urusan pengajian, apatah lagi dalam dunia pembelajaran yang semakin bergantung kepada teknologi digital.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT, Profesor Dr Suriyani Muhamad, sumbangan ini amat bertepatan dengan agenda dunia digital yang semakin pesat di institusi pengajian tinggi.
"Sumbangan laptop berkenaan amat bersesuaian seiring usaha memartabatkan pendigitalan pendidikan. Ia bukan sekadar bantuan, malah satu pelaburan jangka panjang dalam membina modal insan negara,” jelas beliau.
Dalam majlis sama, Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu, Abdul Kahar Abdul Latif turut menekankan pentingnya bantuan seperti ini dalam membentuk masa depan pelajar.
"Pembelajaran yang baik akan membawa kepada pencapaian cemerlang. Hasilnya, para pelajar mampu menyumbang kembali kepada keluarga dan masyarakat sekali gus membantu meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya.
UMT turut memaklumkan bahawa sebanyak RM632,000 dana zakat telah diagihkan kepada pelajar yang memerlukan, sebagai bukti komitmen universiti agar tiada pelajar tercicir akibat kekangan kewangan.
Pihak universiti juga merakamkan penghargaan kepada agensi-agensi korporat yang turut serta menjayakan inisiatif kebajikan mahasiswa melalui sumbangan dan kolaborasi berterusan.
Melalui pelbagai bentuk sokongan ini, UMT terus komited dalam melahirkan penuntut yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga menjadi pemimpin masa depan yang berintegriti, cakna dan prihatin terhadap masyarakat serta negara.