Adik kembar tolak tawaran universiti demi cari nafkah tanggung kakak belajar di UPSI

Iklan
Tangkap layar hantaran Asyraf Wajdi di Facebook pada Isnin.

Luluh hati Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendengar kisah penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang juga salah seorang mangsa nahas bas persiaran, Nur Ain Najwa mengenai dua adik kembarnya terpaksa menolak tawaran sambung belajar ke universiti demi kakak tersayang.

Asyraf Wajdi berkata, adik kembar kepada mangsa nahas tersebut sanggup berkorban dan bekerja mencari nafkah untuk menanggung biaya pengajian kakak ke UPSI.

Iklan
Iklan

Beliau turut diberitahu, kedua-duanya pernah memohon bantuan Mara, namun mungkin berlaku kesilapan teknikal menyebabkan permohonan tersebut ditolak.

"Adik-adik terpaksa tolak tawaran ke Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kerana nak kerja dahulu. Katanya ‘kakak belajar kami tanggung kakak. Nanti kita bergilir-gilir’.

Iklan

"Mereka anak yatim, hilang tempat bergantung kerana ayah meninggal dunia beberapa tahun lalu. Itupun arwah hanya bekerja sebagai pomen di kedai baiki kereta. Ibunya pula sakit, sebelum itu ambil upah cuci rumah tetangga.

"Sebagai pengerusi Mara, saya akan rasa amat berdosa jika kes seperti ini tidak dibantu. Terus saya beri nombor telefon peribadi untuk dihubungi,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika melawat mangsa kemalangan di Hospital Gerik, Perak pagi isnin.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, seramai 15 pelajar UPSI disahkan meninggal dunia manakala 27 yang lain cedera dan menerima rawatan di Hospital Gerik.

Turut mengalami kecederaan ialah pemandu bas berusia 40 tahun bersama kelindannya, 54.

Nahas dipercayai berlaku apabila bas terbabit dipandu dengan laju dan melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza, kemudiannya hilang kawalan sebelum terbalik merempuh pembahagi jalan.

Dalam kejadian itu, empat sekeluarga yang menaiki MPV terbabit terselamat, namun mengalami kecederaan dan kini dirawat di Hospital Baling, Kedah.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi menegaskan, masalah kewangan tidak sepatutnya menjadi penghalang dalam urusan menuntut ilmu kerana itu sahaja cara untuk mengubah kehidupan seseorang.

"Semoga adik Ain segera sembuh dan diberikan ketabahan untuk melalui perasaan trauma selepas menghadapi insiden yang cukup menyayat hati ini.

"Dia turut menceritakan bagaimana masih terngiang-ngiang suara rakan mengerang kesakitan terutamanya yang duduk di bahagian kiri bas berlanggar pembahagi jalan.

"Ayuh rakyat Malaysia, kita doakan semua mangsa dan keluarga diberi ketabahan dan kesabaran menghadapi tragedi ini,” ujar beliau lagi.