Pejabat Komunikasi Strategik, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Pusat Darah Negara (PDN) menjalinkan kerjasama strategik untuk mempromosikan kempen derma darah.Inisiatif berkenaan dilakukan sempena sambutan Hari Penderma Darah Sedunia yang akan berlangsung pada 16 Jun ini di seluruh kampus cawangan universiti tempatan tersebut.Penolong Naib Canselor (Komunikasi Strategik), Profesor Dr Ismie Roha Mohamed Jasi berkata, lawatan kerja rasmi ke PDN itu untuk membincangkan potensi kerjasama keseluruhan perjalanan program.Menurutnya, ia juga bertujuan untuk mempromosikan UiTM dan PDN bagi menjayakan kempen kesedaran pendermaan darah yang menyasarkan penyertaan aktif dalam kalangan warga universiti serta masyarakat.“Sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang besar dan berpengaruh, UiTM berperanan penting dalam menyebarkan mesej kesedaran sosial melalui pelbagai saluran komunikasi serta platform digital yang dimiliki.“Kami percaya bahawa kempen sebegini bukan sahaja menyelamatkan nyawa, malah memupuk semangat keprihatinan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa dan staf,” katanya.Tambah Ismie Roha, kerjasama itu dijangka dapat meningkatkan keterlihatan kempen derma darah serta memberi impak besar dalam usaha mengekalkan bekalan darah yang mencukupi dan selamat untuk kegunaan hospital di seluruh negara.Semasa lawatan tersebut, delegasi turut dibawa melawat fasiliti PDN termasuk makmal pemprosesan darah, bilik pendermaan dan pusat penyimpanan darah. Ia juga membuka ruang kepada perkongsian maklumat teknikal dan perancangan inisiatif bersama pada masa hadapan termasuk penghasilan bahan promosi kreatif, video kesedaran dan kolaborasi dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
UiTM jalin kerjasama dengan PDN, beri kesedaran derma darah
Iklan
Ismie Roha menyampaikan cenderahati kepada Pengarah Pusat Darah Negara sempena lawatan kerja UiTM ke Pusat Darah Negara.