Kafe 24 jam ruang inovatif dan sekadar ikutan media sosial

Iklan

Fenomena kafe 24 jam bukan lagi asing di bandar-bandar utama Malaysia. Jika suatu ketika dahulu ia sekadar tempat persinggahan buat pemandu malam atau pelancong keletihan, kini fungsinya telah berubah menjadi ruang sosial dan emosional yang lebih kompleks.

Di sinilah lahirnya budaya baru, generasi muda yang menemui ketenangan, inspirasi, dan kadang-kala identiti mereka sendiri dimalam hari.

Iklan
Iklan

Tarikan utama kafe jenis ini bukan sekadar minuman atau makanan bajet, tetapi suasananya tenang, luas, bersambung internet tanpa henti, dan dihias dengan rekaan moden yang instagramable.

Ramai yang menganggapnya sebagai ‘third place’ atau tempat ketiga selepas rumah dan institusi pendidikan yang memberikan rasa milik tanpa syarat.

Iklan

Bagi yang tidak selesa berkongsi emosi di rumah, atau sukar menumpukan perhatian di perpustakaan, kafe malam menjadi ruang tengah yang menenangkan. Suasana di kafe sebegini sewaktu malam sangat berbeza dengan waktu siang.

Ia tidak riuh, tetapi tidak juga sepi. Meja-meja akan dipenuhi dengan nota kuliah, sketsa di tablet, atau sekadar sebotol air.

Iklan

Aktiviti yang berlaku mungkin kelihatan santai, tetapi bagi sebahagian anak muda, ia adalah cara mereka memproses tekanan hidup tanpa diganggu. Namun, tidak semua melihat budaya ini secara ideal.

Terdapat juga pandangan yang mempersoalkan adakah budaya melepak di kafe 24 jam ini benar-benar membawa manfaat, atau sekadar trend yang didorong oleh media sosial dan kebiasaan untuk mengikuti apa yang popular.

Malah, rutin keluar malam yang berlebihan boleh membawa implikasi terhadap kesihatan fizikal dan mental khususnya apabila waktu tidur terganggu atau makanan tidak sihat menjadi kebiasaan.

Keselamatan turut menjadi isu utama. Kafe mungkin tempat terbuka dan mesra, tetapi perjalanan ke sana atau pulang ke rumah selepas tengah malam boleh mendedahkan pengunjung kepada risiko, terutamanya apabila persekitaran gelap dan sunyi.

Dalam konteks ini, aspek tanggungjawab perlu datang bukan sahaja daripada individu, tetapi juga pengusaha kafe, institusi pendidikan dan komuniti sekeliling.

Fenomena ini sebenarnya membuka ruang kepada satu bentuk sokongan sosial yang boleh dibentuk dengan lebih tersusun.

Bayangkan jika kafe 24 jam turut menganjurkan malam puisi, sesi belajar berkumpulan, tayangan filem intelektual, atau bengkel seni ekspresif. Ia tidak sekadar menjadi tempat ‘melepak’, tetapi ruang membina komuniti yang inklusif dan menyokong pertumbuhan peribadi.

Pihak pengusaha boleh memikirkan semula fungsi ruang, bukan sekadar dari segi komersial, tetapi juga sebagai sumbangan kepada pembangunan belia.

Kafe 24 jam telah menjadi sebahagian daripada landskap kehidupan bandar. Ia bukan lagi sekadar tempat membeli kopi, tetapi ruang di mana sesetengah anak muda menyusun hidup mereka kembali sedikit demi sedikit.

Dalam dunia yang sering memaksa mereka untuk cepat dan kuat, tempat seperti ini menjadi tempat bernafas.

Dan selagi ia digunakan dengan bijak dan bertanggungjawab, mungkin inilah pelarian malam yang diperlukan oleh generasi yang hidup dalam tekanan harian yang tidak selalu dapat difahami oleh dunia dewasa.Maklumat penulis:1) Pelajar Komunikasi Media Baharu Universiti Sains Islam Malaysia, Ainna Nur Syafia2) Pensyarah Kanan Komunikasi Media Baharu Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Afiqah Kamarul