SMAASZA kilang lahirkan permata Darul Iman

Iklan
Tahun ini genap 100 tahun penubuhan SMAASZA pada 1925 atau yang dahulu dikenali sebagai Sekolah Arab Sultan Zainal Abidin.

Penubuhan Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA), Kuala Terengganu, Terengganu pada 1925 atau yang dahulu dikenali sebagai Sekolah Arab Sultan Zainal Abidin merupakan satu detik bersejarah yang mencorakkan lanskap pendidikan Islam di Malaysia.

Tahun ini genap 100 tahun ia diasaskan oleh al-Marhum Sultan Zainal Abidin III, seorang raja yang berpandangan jauh dan menjunjung tinggi nilai ilmu dan agama.

Iklan
Iklan

Sempena sambutan satu abad penubuhannya pada tahun 2025, sebuah buku istimewa berjudul 'Permata Darul Iman: 100 Tahun Sekolah Arab Sultan Zainal Abidin 1925–2025' telah diterbitkan bagi merakamkan sejarah gemilang institusi ini.

Ia dilancarkan secara rasmi oleh KDYMM Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, pada 20 Mei 2025,

Iklan

Buku ini bukan sahaja memperincikan kisah perjuangan, jatuh bangun dan kejayaan institusi pendidikan ini sepanjang satu abad kewujudannya tetapi ia juga memperlihatkan bagaimana SMAASZA telah menjadi pusat lahirnya ribuan tokoh ulung negara dalam pelbagai bidang termasuk politik, perundangan, akademik dan dakwah.

Karya ini dibahagikan kepada beberapa bahagian utama yang disusun secara kronologikal dan tematik.

Iklan

Bab 2 membincangkan latar pendidikan agama di Terengganu sebelum tahun 1925, memberikan gambaran tentang suasana intelektual dan keagamaan sebelum penubuhan institusi formal.

Bab 3 pula memfokuskan kepada sejarah awal penubuhan Madrasah al-Sultan Zainal Abidin bagi tempoh 1925 hingga 1933, termasuk cabaran dan inisiatif awal dalam membina tapak pendidikan Islam yang tersusun.

Seterusnya, Bab 4 menyingkap perjalanan evolusi SMAASZA dari lokasi asalnya di Ladang ke Batu Buruk, merangkumi tahun 1934 hingga 2024, dengan menekankan aspek pembangunan fizikal, kurikulum serta sumbangan warga pendidik.

Bab 5 mengisahkan tentang sumbangan dan pencapaian alumni SMAASZA sebelum kemerdekaan (1925–1957), manakala Bab 6 memberi tumpuan kepada peranan dan kejayaan lulusan selepas kemerdekaan, dari tahun 1958 hingga 2025.

Akhir sekali, Bab 7 mengetengahkan pandangan dan unjuran mengenai masa depan SMAASZA pasca 2025, termasuk cabaran dan potensi hala tuju yang boleh diterokai demi kelestarian legasi pendidikan Islam di Terengganu.

Dalam bab awal, penulis menggambarkan suasana politik dan sosial Terengganu sewaktu era awal penubuhan SMAASZA. Ditekankan bagaimana Sultan Zainal Abidin III berperanan bukan hanya sebagai raja pemerintah, tetapi sebagai 'pelita ilmu' yang mencetuskan visi penubuhan pusat pendidikan agama formal pertama di negeri itu.

Seterusnya buku ini menyentuh bagaimana SMAASZA berdepan pelbagai cabaran termasuk kekurangan dana, pergolakan politik dan sistem pendidikan kebangsaan yang lebih sekular.

Namun, berkat dedikasi guru, murid dan pentadbirnya, sekolah ini terus kukuh menjadi tapak tarbiah yang melahirkan generasi cendekiawan Islam.

Antara aspek penting yang diketengahkan dalam buku ini ialah mengenai pembangunan Kurikulum Islamik dan Arab dengan penekanan kepada penguasaan ilmu-ilmu agama, bahasa Arab dan pengajian kitab turath.

Seterusnya ialah transformasi pentadbiran pendidikan, termasuk peranan guru-guru pelopor serta kerjasama erat antara pihak istana, rakyat dan pentadbiran negeri.

Tidak kurang pentingnya ialah mengenai peranan Tabung Khairat Zainal Abidin (1930) sebagai sumber kewangan dan kebajikan yang memacu pertumbuhan institusi pendidikan Islam sehingga lahirnya Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Penulis juga mengetengahkan pencapaian terkini sekolah seperti pencapaian akademik yang cemerlang, kejayaan pelajar di peringkat STPM dan SPM serta kemunculan tokoh-tokoh penting dari alumni SMAASZA dalam pelbagai bidang, baik agama, politik, akademik mahupun pentadbiran negara.

Menariknya, buku ini memperincikan bagaimana SMAASZA telah melahirkan tokoh-tokoh besar negara, merentas pelbagai peringkat dan bidang.

Dalam kalangan pentadbiran kerajaan negeri Terengganu, ramai alumni SMAASZA telah mencatat nama sebagai Menteri Besar.

Mereka ialah Tan Sri Ibrahim Fikri, Datuk Mahmud Sulaiman, Datuk Nik Hassan Wan Abdul Rahman, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad dan Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Dalam arena persekutuan, beberapa mantan Menteri Kabinet turut berakar umbi dari SMAASZA seperti Tan Sri Dr Mohd Yusoff Md Nor, Tan Sri Dr Abdullah Mohd Zin, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali dan Datuk Dr Zulkifli al-Bakri. Tidak ketinggalan ialah beberapa Timbalan Menteri seperti Datuk Abu Bakar Daud, Datuk Engku Muhsein Abdul Kadir, dan Datuk Wan Abdul Kadir Ismail serta Setiausaha Parlimen seperti Datuk Awang Jabar juga merupakan lulusan institusi ini.

Sumbangan SMAASZA juga terserlah di peringkat negeri melalui barisan mantan EXCO Kerajaan Negeri Terengganu seperti Datuk Ahmad Sidi Ismail, Datuk Muda Mamat, Datuk Harun Taib, Datuk Abu Bakar Chik.

Seorang EXCO Kerajaan Negeri Terengganu sekarang, iaitu Datuk Dr Azman Ibrahim, juga adalah lulusan SMAASZA.

Ada juga alumni sekolah ini yang pernah menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu seperti Datuk Hussein Awang.

Ramai lagi yang pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), baik di Terengganu seperti Datuk Abdul Wahid Endut mahupun di luar Terengganu seperti Dr Shafei Abu Bakar, mantan ADUN Selangor.

Institusi ini turut menyumbang dalam bidang keagamaan secara langsung melalui pelantikan ramai Mufti Kerajaan Negeri Terengganu yang berasal daripada SMAASZA.

Antaranya ialah Datuk Engku Alwi Engku Ambak, Datuk Ismail Yahya, Datuk Dr Muhammad Zubir Awang, Datuk Wan Abdul Manan Wan Yaacob, Datuk Wan Abdul Rahman Long dan Datuk Dr Zulkifli Muda.

Semua mereka telah membentuk wajah fatwa dan hukum-hakam negeri dengan hikmah dan ilmu.

Dalam dunia akademik pula, SMAASZA turut melahirkan ramai profesor ternama seperti Profesor Datuk Dr Fazli Adam yang merupakan Naib Canselor UniSZA sekarang, Profesor Dr Abdul Hakim Abdullah, Profesor Dr Asyraf Abdul Rahman, Profesor Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi dan Profesor Dr Azman Che Mat.

Mereka ini tidak hanya cemerlang dalam bidang pengajian tinggi, malah menjadi arkitek utama pembangunan keilmuan Islam dalam konteks kontemporari.

Buku ini turut merakamkan budaya unik dan biah solehah sekolah ini. Ia termasuklah bacaan Asmaul Husna dan doa Dhuha sebelum kelas, talaqqi kitab setiap petang, bacaan Surah Al-Mulk bersama di asrama serta klinik subjek dan kelas tambahan sehingga malam yang menampilkan komitmen luar biasa para gurunya.

Ia tidak hanya menyentuh aspek akademik tetapi juga pembinaan jati diri, rohani dan akhlak yang menjadi tulang belakang kecemerlangan pelajar.

Sesungguhnya penerbitan buku ini membawa impak yang amat besar. Ia membuka mata generasi muda untuk menyedari bahawa pendidikan agama bukanlah penghalang kepada kemajuan malah ia adalah asas kukuh kepada kecemerlangan.

SMAASZA telah membuktikan bahawa institusi berteraskan Islam mampu melahirkan pemimpin yang berintegriti, cendekiawan yang berwibawa dan rakyat yang berjiwa besar.

Lebih penting, buku ini harus dilihat sebagai inspirasi kepada generasi baru untuk terus berjuang dalam dunia ilmu dengan iltizam dan kesedaran bahawa mereka sedang mewarisi legasi agung.

Legasi ini bukan sekadar untuk dikenang, tetapi untuk diteruskan dan diperhebat. Mereka yang pernah menjejakkan kaki di bumi SMAASZA bukan hanya menjadi sebahagian daripada sejarah tetapi penyambung wasiat keilmuan dan amanah perjuangan ummah.

Akhirnya, “Permata Darul Iman” adalah bukti bahawa SMAASZA bukan sekadar sekolah tetapi ia adalah institusi pembina tamadun.

Buku ini mengangkat institusi Islam sebagai pusat pembangunan insan sejati yang bukan hanya melahirkan ulama, tetapi juga pemimpin, teknokrat dan negarawan yang berjiwa hamba.

Ucapan tahniah wajar dirakamkan kepada Persatuan Alumni Pelajar-Pelajar SMAASZA, terutamanya Presidennya, Tan Sri Dr Mohd Yusoff Md Nor, mantan Menteri, atas inisiatif besar menerbitkan buku ini.

Tidak lupa juga tahniah kepada penulis buku ini, Prof. Datuk Muhammad Abu Bakar, seorang sarjana terkemuka yang telah menjalankan usaha gigih menjejaki pelbagai sumber primer dan menemubual ramai tokoh penting bagi memperkaya kandungan buku ini.

Usaha ini menjadikan buku ini bukan sahaja sebagai satu karya bermutu tinggi tetapi juga sebagai khazanah sejarah yang hidup dan berwibawa.

Pelancaran buku ini oleh Sultan Mizan menambahkan nilai simbolik yang mendalam kepadanya.

Titah baginda yang mencadangkan penjenamaan semula Tabung Khairat Zainal Abidin menjadi endowmen pendidikan Islam adalah bukti jelas komitmen institusi diraja terhadap usaha menjamin kelangsungan institusi-institusi Islam di negeri ini.

Baginda malah menyeru agar institusi di bawah nama Sultan Zainal Abidin, termasuk SMAASZA, SMASZA Ladang dan UniSZA, digabungkan dalam sinergi pendidikan Islam moden yang berwawasan.

Semoga segala usaha mulia yang dirakam dalam buku ini menjadi amal jariah berpanjangan buat semua yang terlibat dan menjadi obor yang terus menyinari perjalanan generasi mendatang.

Buku ini amat wajar dibaca oleh semua rakyat Terengganu dan Malaysia yang ingin memahami bagaimana pendidikan agama boleh menjadi asas kekuatan negeri, masyarakat dan negara.

Maklumat Penulis:

Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my