Tekanan belajar, sering dimarahi motif calon SPM tikam ibu dan abang kandung

Iklan
Suspek remaja (dua dari kiri) sebelum dibawa masuk ke dalam kenderaan polis.

Tekanan belajar dan sering dimarahi dipercayai punca seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lelaki menikam ibu dan abangnya sehingga maut dalam kejadian tragis di sebuah rumah di Taman Rambai Mutiara, di sini pada awal pagi Khamis.

Dalam kejadian lebih kurang jam 5 pagi, suspek remaja berusia 17 tahun dipercayai masuk ke bilik ibunya yang juga merupakan guru berstatus ibu tunggal lalu menyerang mangsa sebelum menikam wanita berusia 51 tahun itu menggunakan pisau lipat.

Iklan
Iklan

Ketua Polis, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, anak sulung mangsa yang berusia 21 tahun, menyedari kekecohan berlaku dan cuba meleraikan namun turut ditikam suspek sehingga maut sebelum mayat kedua-dua beranak itu ditemui di ruang tamu rumah teres setingkat itu.

Menurutnya, seorang lagi anak bongsu lelaki mangsa berusia 13 tahun turut mengalami kecederaan parah ditikam suspek, namun dilaporkan stabil dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Melaka.

Iklan

"Motif kejadian disebabkan oleh perasaan terpendam dan tekanan perasaan, tiada motif lain, yang mana ibu dan abang sering memarahi suspek jadi kes dianggap selesai.

"Setakat ini terdapat beberapa kesan tikaman ditemui pada mangsa seperti di leher, pinggang dan juga di belakang. Mayat kedua beranak ini telah dihantar ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini, pada Khamis.

Iklan

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Melaka, Asisten Komisioner Leow Kian Heong.

Kenderaan polis dipercayai membawa mayat dua beranak itu untuk dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka pada Khamis.

Mengulas lanjut, Dzulkhairi berkata, selepas membunuh keluarganya, suspek yang membeli pisau lipat itu cuba menghilangkan bukti dengan menyembunyikan senjata tajam dalam beg sekolah yang ditemui di luar rumah.

Beliau berkata, suspek juga dipercayai telah membuang pakaiannya yang terdapat kesan darah di dalam semak berdekatan dan soal siasat terhadap suspek mengakui melakukan perbuatan itu.

Tambahnya, ketika polis tiba, suspek ditemui duduk dalam keadaan termenung di luar rumahnya seolah-olah perlakuan itu bukanlah dilakukan olehnya.

"Boleh dikatakan keluarga ini hari-hari ada pergaduhan, maklumat daripada jiran-jiran memang keadaan bising selalu berlaku yang mana ibu dan abang sering memarahi mangsa.

"Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) rumah jiran, kita dapati memang tiada orang lain yang masuk ke rumah mangsa dan melihat suspek cuba melupuskan barang kes," katanya lagi.

Remaja itu kini ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang guru termasuk anak sulungnya berusia 21 tahun dipercayai dibunuh.

Mangsa berusia 51 tahun dan anak sulungnya dipercayai ditemui di ruang tamu rumah manakala anak lelaki bongsunya berusia 13 tahun ditemui berlumuran darah di garaj kereta rumah teres setingkat itu.