Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mempunyai modul Garis Panduan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) untuk meningkatkan tahap kesedaran kesihatan reproduktif dalam kalangan masyarakat khususnya murid, guru serta ibu bapa.
KPM dalam satu kenyataan berkata, tempoh masa pengajaran bagi modul tersebut akan ditambah dalam pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027.
“Semua institusi pendidikan KPM diminta untuk mematuhi garis panduan bagi menangani isu gangguan seksual yang sedang digunapakai.
“Khidmat sokongan psikososial juga perlu terus diperkukuhkan untuk memberi sokongan kepada murid,” katanya.
Inisiatif tersebut dilaksanakan disebabkan tular beberapa isu mengenai kewujudan halaman media sosial yang memaparkan kandungan lucah dan tidak bermoral.
Ia perlu segera dilaporkan dan diambil tindakan, selain membendung gejala tersebut daripada semakin meluas.
Baru-baru ini, seorang pempengaruh media sosial, Mekyun meluahkan rasa kecewa, jijik dan marah selepas mendapati wujudnya satu kumpulan tidak bermoral yang menjadikan gambar kanak-kanak sekolah rendah sebagai bahan fantasi seksual.
Menurut pemilik nama sebenar Wee Yun Nee, 28, dia sendiri rasa hancur hati dan jijik apabila melihat ada segelintir lelaki yang boleh berasa tertarik secara seksual terhadap kanak-kanak dan hidup seperti tiada apa yang berlaku.
Bagaimanapun, setelah satu akaun di Facebook yang berkongsi gambar gadis bawah umur sebagai bahan perbualan berjaya dilenyapkan hasil ‘kuasa’ warganet, kini muncul lagi akaun yang didakwa menawarkan aktiviti mencurigakan.
Pempengaruh, Reina Lum dalam perkongsian di TikTok mendedahkan, pihaknya mendapat maklumat tentang kewujudan akaun ‘Upskirt Melayu’ yang aktif di Threads, Instagram dan TikTok.
Menurutnya, maklumat itu diberikan oleh seorang rakannya yang juga jurugambar dan merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan akaun berkenaan yang menawarkan sesi fotografi aksi seksual pada harga RM500.
Sekali lagi, KPM menegaskan pihaknya akan mengambil serius tentang laporan media yang dilakukan oleh pempengaruh kerana ia melibatkan pelajar sekolah.
Dalam masa sama, agensi kerajaan tersebut menggesa ibu bapa untuk turut memainkan peranan proaktif di rumah dengan mendidik dan melindungi anak-anak dari ancaman gangguan seksual.
“Mereka bertanggungjawab memastikan maruah anak-anak dipelihara,” katanya.