Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya mengumpul sebanyak RM290,651 untuk disumbangkan kepada waris dan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Raya Timur - Barat di Gerik, 9 Jun lepas.
MPP UUM dalam kenyataan di Facebook memaklumkan jumlah itu hasil sumbangan daripada 18,927 penyumbang yang mencerminkan semangat kebersamaan cukup luar biasa dalam saat duka dan mencabar.
"MPP UUM merakamkan setinggi penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia atas solidariti yang luar biasa dan keprihatinan yang dizahirkan.
"Penyerahan rasmi sumbangan ini akan diumumkan dalam hebahan yang akan dimaklumkan kemudian mengikut proses kewangan dan tatacara saluran yang telah ditetapkan.
"Terima kasih atas sokongan anda semua dan semoga segala kebaikan ini menjadi asbab keberkatan buat kita," menurut kenyataan itu.
Pada Isnin lepas, 15 penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas yang membawa mereka dari Jertih, Terengganu ke kampus utama Tanjung Malim, Perak terlibat dalam kemalangan yang turut melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di JRTB.
Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Perodua Alza. - Bernama