Harap semua universiti dapat tawar program, buka fakulti berkaitan AI - Zambry

Iklan
Zambry

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mahu semua universiti di negara ini menawarkan program-program atau menubuhkan fakulti berkaitan bidang kecerdasan buatan (AI) bagi persediaan terhadap permintaan bakat AI yang semakin meningkat dalam pelbagai industri.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadi perintis pendidikan AI dengan penubuhan Fakulti AI pertama.

Iklan
Iklan

"Kita umumkan supaya semua universiti dapat menawarkan dan membuka fakulti serta program berkaitan AI dan kerajaan akan terus memantau perkembangan terkini mengenai AI.

"Selain AI, kita juga ada satu lagi perkembangan terkini iaitu dalam bidang Teknologi Kuantum," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Watikah Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti Negeri Sabah.

Iklan

Zambry berkata, KPT juga bersedia menyediakan kursus-kursus berkaitan AI di kolej komuniti di negara ini.

"Jadi kolej komuniti bukan sahaja tidak akan terikat dengan kandungan kursus yang rigid, malah akan terbuka kepada bidang-bidang terkini. Ini membolehkan graduan mendapat penerimaan kerana kemahiran mereka seiring dengan permintaan pasaran kerja," katanya.

Iklan

Selain itu, Zambry berkata, kerajaan akan mengkaji semula sama ada untuk meneruskan kolej komuniti yang tidak aktif atau meneliti semula program-program yang ditawarkan di kolej komuniti berkenaan.

"Ini kerana terdapat kawasan-kawasan tertentu yang menawarkan program-program yang kurang sesuai dan tidak mendapat sambutan daripada masyarakat atau pelajar-pelajar setempat," katanya.

Sementara itu, beliau berharap masalah bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dapat diselesaikan oleh pihak kerajaan negeri, memandangkan kementerian dan kerajaan Persekutuan telah menyalurkan peruntukan RM5 juta termasuk untuk pembinaan paip bawah tanah.

"Di peringkat UMS, kita tidak menghadapi masalah, tetapi mungkin terdapat isu-isu teknikal lain, dari segi saluran atau penyediaan kuantiti air yang diperlukan untuk paip-paip utama yang perlu disambungkan ke universiti," katanya lagi.

Zambry turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM50,000 kepada setiap sembilan kolej komuniti di Sabah untuk pelaksanaan pelbagai aktiviti. - Bernama