Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyelar sekeras-kerasnya tindakan segelintir pihak yang mempolitikkan insiden pergaduhan melibatkan dua murid di sebuah sekolah di Terengganu baru-baru ini.
Beliau turut menafikan dakwaan tidak berasas yang mengaitkan ibu kepada seorang murid terlibat dengannya.
"Fitnah mengaitkan seorang daripada ibu murid terlibat dengan saya adalah tidak bertanggungjawab dan berniat jahat. Saya tidak pernah mengenali individu terbabit,“ katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) telah mengambil tindakan terhadap kes ini mengikut prosedur standard operasi (SOP) Buli dan Salah Laku yang sedang berkuat kuasa.
Sebagai langkah susulan, beliau turut mengarahkan Unit Integriti kementerian untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden berkenaan.
"Saya mengikuti rapat perkembangan isu ini dan mahu ia diselesaikan segera. KPM tidak berkompromi dengan buli dan perbuatan salah laku lain. Tindakan tegas mesti diambil terhadap sesiapa sahaja yang bersalah," katanya.
Fadhlina turut menegaskan komitmen kementerian untuk memastikan semua institusi pendidikan kekal sebagai persekitaran yang selamat demi kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga sekolah. - Bernama