Jumaat lalu, seorang pelajar Tingkatan Dua Dahlia, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merbau, Miri, Sarawak meninggal dunia sekali gus mengundang kesedihan dalam kalangan komuniti sekolah.
Difahamkan, berita kematian Adeelya Azzahra Abdullah dimaklumkan oleh pihak sekolah menerusi platform Facebook mereka baru-baru ini.
"Semoga ALLAH merahmati rohnya, memuliakan kematiannya, mengampuni segala kesalahannya, menjadikan syurga sebagai ganti tempat tinggalnya dan menempatkan arwah dalam kalangan orang-orang yang beriman," catat Facebook itu.
Dalam perkongsian tersebut, tidak dinyatakan punca kematian Allahyarhamah, namun apa yang pasti, pemergiannya cukup dirasai oleh seluruh warga sekolah.
Sementara itu, ramai dalam kalangan warga maya turut menzahirkan simpati dan mengirimkan doa melalui media sosial.
Mereka mengenang Adeelya Azzahra sebagai pelajar berakhlak mulia, tenang perwatakannya dan sentiasa menyenangkan hati sesiapa sahaja yang mengenalinya.
Kami di Sinar Bestari mendoakan agar ahli keluarga arwah diberikan kekuatan, ketabahan dan ketenangan jiwa dalam menempuh kehilangan yang mengejutkan ini.