Krisis minat terhadap Sains: Implikasi masa depan pendidikan & pembangunan negara

Iklan
Melalui Sains, manusia mampu memahami fenomena alam, merungkai misteri kehidupan dan mencipta pelbagai inovasi daripada rawatan penyakit, sistem pengangkutan moden hinggalah kepada penggunaan tenaga boleh diperbaharui. Gambar kecil: Dr Razif

Sains bukan sekadar subjek di bilik darjah, tetapi nadi kepada kemajuan tamadun manusia.

Ia menjadi tunjang kepada pembangunan teknologi, kesihatan, ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

Iklan
Iklan

Melalui Sains, manusia mampu memahami fenomena alam, merungkai misteri kehidupan dan mencipta pelbagai inovasi daripada rawatan penyakit, sistem pengangkutan moden hinggalah kepada penggunaan tenaga boleh diperbaharui.

Malah, Sains membekalkan masyarakat dengan asas bukti dalam membuat keputusan berkaitan isu global seperti perubahan iklim, keselamatan makanan dan pengurusan sumber semula jadi.

Iklan

Justeru, penguasaan Sains bukan sahaja penting untuk manfaat individu, tetapi juga kritikal bagi memastikan kemajuan dan kelangsungan masa depan masyarakat sejagat.

Kita sering melaungkan kepentingan Sains, namun sejauh mana kita benar-benar mengambil serius usaha membudayakannya sejak awal usia?

Iklan

Sains bukan sekadar menghafal formula atau lulus peperiksaan, ia membentuk cara berfikir yang kritikal, logik dan analitik.

Malangnya, sistem pendidikan kita masih terlalu sibuk mengejar gred hingga gagal melatih pelajar untuk berfikir secara mendalam atau mempersoal fakta.

Dalam dunia moden yang penuh ketidakpastian, kemahiran saintifik seperti memahami hubungan sebab-akibat dan menyelesaikan masalah secara sistematik bukan lagi pilihan, ia keperluan.

Lebih membimbangkan, negara seperti Malaysia yang sedang membangun sepatutnya menjadikan sains sebagai teras membina tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Tetapi realitinya? Kita masih bergantung pada kepakaran luar dan bersaing dalam ekonomi global dengan senjata tumpul.

Tanpa asas sains yang kukuh, kita hanya akan terus menjadi pengguna teknologi bukan pencipta.

Krisis kekurangan pelajar aliran Sains di sekolah-sekolah Malaysia bukan lagi isu baharu, tetapi kini menjadi ancaman serius terhadap masa depan tenaga kerja berkemahiran tinggi negara.

Walaupun ada sedikit peningkatan iaitu kadar pendaftaran pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) naik kepada 50.83 peratus pada tahun 2024 berbanding 41.84 peratus pada 2019, angka ini masih jauh daripada sasaran 60:40 yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan sejak puluhan tahun lalu.

Lebih mengejutkan, peningkatan ini bukan sepenuhnya disumbangkan oleh aliran Sains tulen, sebaliknya oleh bidang teknikal dan vokasional.

Ini bermakna minat terhadap Sains Tulen, Biologi, Fizik dan Kimia, masih lemah.

Persoalannya, bagaimana Malaysia mahu melahirkan saintis, jurutera dan penyelidik jika majoriti pelajar pun enggan menyentuh asasnya?

Statistik ini seharusnya menjadi amaran, bukan alasan untuk berpuas hati.

Persepsi negatif terhadap bidang Sains

Salah satu punca utama kekurangan pelajar aliran Sains di sekolah adalah persepsi negatif yang masih menebal bahawa Sains itu sukar, membebankan dan tidak relevan dengan kehidupan sebenar.

Persepsi ini bukan muncul secara tiba-tiba, tetapi berpunca daripada kelemahan asas yang kronik dalam Matematik dan Sains sejak peringkat rendah.

Ramai pelajar gagal memahami konsep asas seperti tenaga, ekosistem, fotosintesis, jisim, bahan dan proses saintifik.

Akibatnya, apabila mereka melangkah ke peringkat menengah dan berhadapan dengan topik yang lebih abstrak dan kompleks, mereka tidak hanya keliru, mereka terus menyerah kalah.

Rasa takut, tidak mampu bersaing dan hilang keyakinan mula berakar, menjadikan aliran Sains sesuatu yang mahu dijauhi, bukan dikejar.

Lebih membimbangkan, masalah ini turut berpunca daripada pendekatan pengajaran di sekolah rendah yang terlalu bersifat hafalan, dangkal dan gagal menanam rasa ingin tahu.

Jika akar masalah ini tidak dicantas segera, kita bakal kehilangan satu generasi yang buta terhadap ilmu paling penting abad ini.

Pemahaman dan penguasaan asas yang lemah

Apabila kelemahan asas dalam Sains dibawa ke peringkat sekolah menengah, pelajar mula hilang arah, keliru, terputus hubungan antara konsep baharu dengan pengetahuan terdahulu dan akhirnya tercicir.

Sebagai contoh, pelajar yang gagal memahami perubahan haba dan keadaan jirim di peringkat asas akan menghadapi kesukaran besar apabila berhadapan dengan topik seperti termodinamik atau fizik haba di peringkat lebih tinggi.

Ini bukan sekadar isu akademik, ia mencetuskan rentetan kegagalan yang lebih besar.

Prestasi peperiksaan yang merosot akan melemahkan motivasi pelajar dan lebih parah, mereka mula percaya bahawa mereka"tidak berbakat" dalam bidang Sains.

Keyakinan yang runtuh ini mewujudkan satu kitaran negatif: asas yang lemah → gagal memahami → prestasi merosot → minat terpadam.

Dalam jangka panjang, ini menyumbang secara langsung kepada penurunan bilangan pelajar yang memilih aliran Sains seterusnya menjejaskan pembangunan modal insan dalam bidang STEM.

Negara tidak akan mampu membina masa depan berasaskan teknologi dan inovasi jika pelajarnya sudah menyerah kalah di peringkat awal lagi.

Ini bukan sekadar isu pendidikan, ini amaran kepada masa depan negara.

Kekurangan guru terlatih dalam bidang?

Selain faktor persepsi dan kelemahan asas, kekurangan guru terlatih dalam mata pelajaran Sains khususnya di kawasan luar bandar turut menjadi punca utama kurangnya pelajar memilih aliran ini.

Di Sarawak sebagai contoh, lebih separuh daripada guru yang mengajar Sains di sekolah rendah bukan daripada opsyen Sains.

Keadaan ini amat membimbangkan kerana tanpa guru berkelayakan, pengajaran Sains menjadi kurang berkesan lebih-lebih lagi apabila ia turut dibebani dengan kekurangan peralatan makmal atau fasiliti yang usang.

Apabila subjek Sains diajar oleh guru bukan opsyen, pelbagai masalah timbul antaranya kurang keyakinan dalam menyampaikan konsep, kesukaran mengendalikan eksperimen dan ketidakmampuan menerangkan idea abstrak dengan jelas.

Akibatnya, pelajar tidak mendapat pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan atau bermakna, lalu gagal membina pemahaman yang kukuh.

Lebih parah, mereka mudah keliru, cepat berputus asa dan akhirnya menjauhkan diri daripada subjek ini.

Tanpa asas yang kuat di peringkat awal, pelajar akan bergelut apabila berhadapan dengan subjek teras seperti Fizik, Kimia dan Biologi di peringkat menengah.

Masalah ini bukan sekadar menjejaskan keputusan peperiksaan, tetapi turut menghakis potensi negara untuk melahirkan generasi celik STEM yang diperlukan bagi menghadapi cabaran masa depan.

Latar belakang guru bukan opsyen Sains

Adalah amat penting bagi guru yang mengajar Sains mempunyai latar belakang akademik dalam bidang tersebut.

Ini bukan soal kelayakan semata-mata, tetapi jaminan kepada ketepatan fakta, kefahaman mendalam, dan keupayaan menyampaikan konsep-konsep kompleks dengan berkesan.

Guru yang berpengkhususan dalam Sains lazimnya lebih arif terhadap kandungan subjek, lebih cekap mengendalikan eksperimen makmal serta mampu mengaitkan teori dengan aplikasi dunia sebenar secara kontekstual.

Ini menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih bermakna, eksploratif dan menarik, elemen penting dalam memupuk minat serta meningkatkan pemahaman pelajar.

Lebih daripada itu, guru berlatar belakangkan Sains juga menguasai pedagogi khusus seperti pendekatan inkuiri, penyelesaian masalah saintifik dan integrasi teknologi dalam bilik darjah.

Sebaliknya, guru tanpa asas dalam bidang ini sering bergelut menjelaskan konsep secara mendalam dan sukar menangani soalan kritikal daripada pelajar.

Akibatnya, pengajaran menjadi dangkal, tidak menyeluruh dan kurang memberi inspirasi sekali gus menjejaskan kualiti pendidikan Sains secara keseluruhan.

Dalam usaha membina generasi celik Sains, pemilihan dan penempatan guru yang tepat bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan mutlak.

Inisiatif pihak berwajib

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah melaksanakan beberapa langkah strategik bagi menangani isu kekurangan guru Sains yang berlarutan sejak sekian lama.

Antara tindakan utama termasuk pengambilan seramai 18,792 guru baharu sepanjang tahun 2023, meliputi mata pelajaran kritikal seperti Sains dan Matematik.

Daripada jumlah tersebut, 9,637 guru telah ditempatkan di sekolah menengah manakala 9,155 di sekolah rendah.

Bagi memperluas sumber tenaga pengajar, KPM turut membuka peluang kepada graduan berpotensi tinggi dari universiti swasta dan luar negara serta memperkenalkan sistem pengambilan berdasarkan kluster mata pelajaran untuk memastikan penempatan guru yang lebih tepat dan berfokus.

Di samping aspek pengambilan, KPM juga menekankan pemantapan kualiti pengajaran dan pembelajaran (PdP) melalui tujuh inisiatif utama termasuk pengukuhan Penilaian Bilik Darjah (PBD), Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) serta penerapan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

Pendekatan pembelajaran menyeronokkan (fun learning) turut diperkenalkan bagi meningkatkan minat serta keyakinan murid terhadap Sains dan Matematik.

Namun begitu, walaupun langkah-langkah ini wajar dipuji, isu asas seperti kekurangan guru opsyen Sains yang benar-benar terlatih serta ketiadaan infrastruktur makmal yang mencukupi terutamanya di kawasan luar bandar masih belum ditangani secara menyeluruh.

Tanpa penyelesaian konkrit terhadap aspek ini, keberkesanan dasar dan inisiatif yang dilaksanakan akan tetap terhad dan impian melahirkan generasi celik STEM berisiko terus menjadi retorik semata-mata.

Kesan domino terhadap sistem pendidikan negara

Kesan daripada kelemahan asas dalam pendidikan Sains ini bukan sahaja memberi implikasi kepada individu, tetapi turut mencetuskan kesan domino yang serius terhadap sistem pendidikan dan pembangunan negara.

Apabila pelajar semakin menjauhi aliran Sains, institusi pengajian tinggi akan mengalami kekurangan kemasukan dalam program berkaitan teknologi, kejuruteraan, sains kesihatan dan sains tulen.

Keadaan ini seterusnya menyempitkan saluran penghasilan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang kritikal ini.

Dalam jangka panjang, Malaysia bakal berdepan defisit modal insan dalam sektor strategik yang menjadi tulang belakang kepada ekonomi masa depan seperti bioteknologi, kejuruteraan, tenaga boleh diperbaharui, teknologi maklumat dan automasi.

Kekurangan tenaga pakar tempatan bukan sahaja menjejaskan daya saing negara malah memaksa Malaysia bergantung kepada tenaga kerja asing yang bukan sahaja mahal, tetapi tidak menjamin pemindahan teknologi dan pengetahuan secara mampan.

Kegagalan membina ekosistem pendidikan Sains yang kukuh dari peringkat asas akan menyebabkan negara terlepas peluang untuk menjayakan agenda pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan dan teknologi tinggi.

Justeru, isu ini bukan sekadar tentang bilangan pelajar dalam aliran Sains, tetapi soal survival dan kedaulatan intelektual negara dalam abad ke-21.

Situasi ini bukan sahaja membebankan ekonomi negara malah menjejaskan keupayaan Malaysia untuk berdikari dalam membangunkan inovasi tempatan yang dapat meningkatkan daya saing di peringkat global.

Ketidakseimbangan antara permintaan dan bekalan tenaga mahir akan menyebabkan Malaysia ketinggalan dalam perlumbaan global ke arah Revolusi Industri 4.0 dan transformasi digital.

Ketiadaan pakar tempatan akan membantutkan kemajuan penyelidikan dan pembangunan (R&D), mengurangkan kadar penciptaan teknologi baharu serta menyukarkan negara menarik pelaburan asing dalam sektor berteknologi tinggi.

Tambahan pula, jurang pendapatan antara golongan berkemahiran tinggi dan rendah akan terus melebar, mencetuskan ketidaksamarataan ekonomi dan sosial.

Maka, pelaburan dalam pendidikan sains dan pembangunan bakat tempatan merupakan satu keperluan mendesak demi menjamin masa depan Malaysia yang lebih mampan, berdaya saing dan berinovasi.

Inisiatif kerajaan dan pembangunan profesional

Pelbagai inisiatif telah diperkenalkan oleh kerajaan untuk menangani isu ini.

Belanjawan 2024 memperuntukkan RM100 juta untuk menarik minat pelajar terhadap aliran STEM, termasuk menaik taraf 301 makmal komputer dan makmal sains.

Program seperti Dual Language Programme (DLP) juga dilaksanakan bagi meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam subjek Sains dan Matematik.

Namun begitu, kadar pendaftaran dalam aliran sains tulen masih kekal rendah, iaitu hanya sekitar 19 peratus.

Ini menunjukkan bahawa walaupun terdapat penambahbaikan infrastruktur dan peruntukan kewangan, cabaran utama seperti kekurangan guru pakar dan penguasaan asas Sains dalam kalangan pelajar masih belum ditangani secara menyeluruh. Punca sebenar kepada kegagalan menangani cabaran seperti kekurangan guru pakar Sains dan kelemahan penguasaan asas Sains pelajar berpunca daripada ketidaksepadanan antara dasar pendidikan dengan pelaksanaan di peringkat akar umbi.

Walaupun pelbagai dasar dan peruntukan telah diumumkan, pelaksanaan di peringkat sekolah masih berdepan kekangan logistik, birokrasi dan kekurangan tenaga pengajar yang benar-benar kompeten.

Contohnya, penempatan guru sering kali tidak mengambil kira opsyen kepakaran, menyebabkan guru bukan opsyen Sains mengajar subjek ini tanpa latihan yang mencukupi.

Tambahan pula, proses latihan semula atau pembangunan profesional guru yang sedia ada kadangkala tidak dilaksanakan secara berterusan dan kurang menekankan aspek pedagogi khas Sains yang diperlukan.

Kurang pendekatan pembelajaran inkuiri?

Selain itu, sistem pengajaran yang terlalu berfokus kepada pencapaian peperiksaan dan kurangnya pendekatan pembelajaran secara inkuiri atau amali turut menjadi punca utama kelemahan penguasaan asas Sains dalam kalangan pelajar.

Dalam banyak kes, guru lebih menekankan penghafalan fakta daripada penerokaan konsep, menyebabkan pelajar tidak memahami asas Sains secara menyeluruh.

Di samping itu, jurang digital dan infrastruktur antara sekolah bandar dan luar bandar masih wujud, menyebabkan pelajar di kawasan pedalaman sukar mendapat akses kepada bahan bantu mengajar yang interaktif dan relevan.

Akibatnya, walaupun terdapat penambahbaikan infrastruktur secara fizikal dan peruntukan kewangan, impaknya masih tidak mampu menyelesaikan akar permasalahan secara holistik.

Peranan ibu bapa di rumah

Ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam menyemai minat anak-anak terhadap Sains sejak dari rumah.

Penyediaan persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan, pendedahan kepada eksperimen mudah, dan penglibatan dalam aktiviti harian yang berkaitan dengan Sains boleh meningkatkan kefahaman dan minat anak terhadap subjek ini.

Dorongan serta komunikasi aktif dengan guru juga dapat membantu mengukuhkan sokongan terhadap anak-anak dalam pembelajaran mereka.

Peranan ibu bapa di rumah amat penting dalam memupuk minat awal anak-anak terhadap bidang Sains dan STEM.

Sokongan ibu bapa boleh bermula dengan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif di rumah serta menyediakan bahan bacaan atau alat pembelajaran seperti kit eksperimen mudah, video sains interaktif atau permainan berasaskan sains.

Di samping itu, ibu bapa boleh melibatkan anak-anak dalam aktiviti harian yang berkaitan dengan konsep sains, seperti memasak (reaksi kimia), berkebun (biologi) atau membaiki alat elektrik (fizik).

Apabila anak-anak melihat bagaimana sains digunakan dalam kehidupan seharian, mereka akan lebih mudah memahami dan menghargai subjek tersebut sebagai sesuatu yang relevan dan menarik.

Selain itu, ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam membina sikap positif terhadap pembelajaran.

Dorongan, pujian dan sokongan moral apabila anak menunjukkan minat atau usaha dalam subjek Sains dapat meningkatkan keyakinan diri dan motivasi mereka.

Ibu bapa juga digalakkan untuk berkomunikasi secara aktif dengan guru serta melibatkan diri dalam aktiviti sekolah yang berkaitan dengan STEM seperti pameran sains atau bengkel pembelajaran.

Dengan penglibatan aktif ibu bapa, anak-anak akan merasakan bahawa usaha mereka dihargai dan disokong sekali gus mengukuhkan minat mereka untuk meneruskan pengajian dalam bidang Sains dan STEM.

Kerjasama antara ibu bapa dan guru sangat penting kerana kedua-dua pihak memainkan peranan utama dalam membentuk sikap dan minat pelajar terhadap pembelajaran, khususnya dalam subjek Sains yang dianggap mencabar.

Ibu bapa yang mengambil tahu dan memberi sokongan kepada pembelajaran anak-anak mereka di rumah boleh membantu mengukuhkan pemahaman konsep yang diajar di sekolah.

Apabila ibu bapa menunjukkan minat terhadap Sains, contohnya melalui aktiviti eksperimen mudah di rumah atau berbual mengenai fenomena saintifik harian, anak-anak akan lebih terdorong untuk melihat subjek ini sebagai sesuatu yang menarik dan berguna dalam kehidupan mereka.

Ini membantu membina hubungan positif antara pelajar dengan subjek Sains sejak dari awal.

Peranan pihak sekolah

Di pihak sekolah pula, guru yang berkolaborasi dengan ibu bapa dapat menyampaikan maklumat tentang prestasi pelajar, cabaran yang dihadapi serta potensi mereka dalam bidang Sains.

Melalui komunikasi yang berterusan dan terbuka, ibu bapa boleh membantu mengatasi masalah pembelajaran anak dengan lebih cepat dan berkesan, termasuk menyedari kelemahan asas yang mungkin tidak disedari sebelum ini.

Kerjasama ini juga dapat membuka peluang kepada ibu bapa untuk terlibat dalam aktiviti sekolah seperti pameran sains, bengkel STEM atau ceramah motivasi, sekali gus mewujudkan ekosistem pembelajaran yang menyokong dan kondusif.

Apabila pelajar merasakan mereka mendapat sokongan daripada kedua-dua pihak, motivasi dan minat mereka untuk mendalami subjek Sains akan lebih kukuh dan berterusan.

Peranan dan sikap pelajar

Dalam pada itu juga, sikap individu pelajar memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan tahap minat dan pencapaian mereka dalam bidang Sains.

Pelajar perlu mempunyai sikap terbuka, ingin tahu, dan berani mencuba untuk benar-benar menghayati nilai pembelajaran Sains.

Ramai pelajar menganggap Sains sebagai subjek yang sukar dan tidak relevan kerana mereka sudah meletakkan halangan mental sejak awal lagi.

Sikap negatif seperti cepat berputus asa apabila tidak faham, atau belajar hanya untuk lulus peperiksaan, akan menyukarkan mereka untuk menyelami keindahan dan logik dalam konsep-konsep sains.

Oleh itu, perubahan sikap ke arah lebih positif, seperti berusaha memahami dan bertanya apabila tidak faham, sangat penting untuk menyemai minat jangka panjang terhadap bidang ini.

Selain itu, pelajar juga perlu memupuk sikap proaktif dalam pembelajaran Sains dengan melibatkan diri dalam aktiviti luar bilik darjah seperti kelab STEM, pertandingan sains, projek eksperimen atau menonton dokumentari ilmiah.

Sikap ingin meneroka dan tidak bergantung sepenuhnya kepada guru akan menjadikan pelajar lebih berdikari dan bersemangat untuk mendalami ilmu Sains secara mendalam.

Pelajar juga perlu melihat kesilapan atau kegagalan dalam eksperimen sebagai peluang pembelajaran, bukan sebagai titik kelemahan.

Dengan mengubah sikap ke arah lebih berdaya tahan, ingin tahu dan menghargai ilmu, pelajar akan lebih terdorong untuk menjadikan Sains sebagai satu bidang yang menyeronokkan dan bermakna dalam kehidupan mereka.

Peranan industri dan komuniti

Peranan industri dan komuniti amat penting dalam menyemarakkan minat pelajar terhadap Sains dan memperkukuh ekosistem pendidikan STEM secara menyeluruh.

Sumbangan mereka boleh dizahirkan melalui pelbagai inisiatif seperti program pendedahan berasaskan pengalaman termasuk lawatan ke pusat penyelidikan, fasiliti industri teknologi tinggi, serta penganjuran ceramah atau bengkel oleh pakar sains tempatan.

Inisiatif seperti program mentor industri juga memberi peluang kepada pelajar untuk melihat sendiri aplikasi Sains dalam konteks sebenar sekali gus menghubungkan pembelajaran di bilik darjah dengan realiti dunia pekerjaan.

Kerjasama ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran pelajar terhadap prospek kerjaya dalam bidang STEM, tetapi turut memperlihatkan peranan penting Sains dalam pembangunan ekonomi, sosial dan alam sekitar negara.

Apabila pelajar melihat bahawa ilmu yang dipelajari bersifat praktikal, relevan dan dihargai oleh komuniti serta pemain industri, mereka akan lebih terdorong untuk menghayati dan meneruskan pembelajaran dalam bidang ini.

Sinergi antara sekolah, industri dan masyarakat inilah yang perlu diperkasa untuk membina minat yang tulen dan mampan terhadap Sains.

Dalam jangka panjang, pendekatan bersepadu ini mampu melahirkan generasi saintifik yang bukan sahaja celik teknologi, tetapi turut bersedia memacu Malaysia ke arah masa depan yang lebih inovatif, berdikari dan berdaya saing di peringkat global.

Kesimpulannya, krisis kekurangan pelajar dalam aliran Sains bukan sekadar isu pendidikan semata-mata, tetapi merupakan cabaran strategik yang boleh menjejaskan daya saing dan kedaulatan negara dalam jangka panjang.

Kegagalan menangani isu ini hari ini bermakna kita sedang menanam benih kepada defisit modal insan dalam bidang sains dan teknologi yang sangat kritikal untuk masa depan Malaysia.

Justeru, penyelesaiannya memerlukan komitmen bersama dan pendekatan holistik melibatkan kerajaan, sekolah, guru, ibu bapa, industri serta masyarakat secara keseluruhan.

Sekolah mesti diperkasa dengan sumber manusia yang kompeten, persekitaran pembelajaran yang kondusif, dan kurikulum yang relevan serta menarik.

Guru-guru sains perlu diberikan latihan berterusan agar mereka dapat menyampaikan ilmu dengan berkesan dan inspiratif.

Ibu bapa pula harus memainkan peranan sebagai pemangkin minat anak-anak dengan menyokong dan memupuk rasa ingin tahu terhadap dunia sains sejak di rumah.

Dalam masa yang sama, pihak industri dan komuniti perlu lebih proaktif membuka ruang pembelajaran luar bilik darjah melalui kolaborasi, program pendedahan dan pembinaan bakat masa depan.

Isu ini bukan tanggungjawab satu pihak sahaja. Ia adalah amanah bersama. Hanya dengan kerjasama erat dan tindakan kolektif yang berterusan, kita mampu memastikan generasi akan datang tidak hanya menjadi pengguna teknologi, tetapi pencipta dan pemimpin dalam ekosistem inovasi global.

Maka, persoalannya kini: adakah kita bersedia untuk terus membiarkan generasi muda meminggirkan sains, atau sudah tiba masanya untuk kita bertindak dengan lebih serius dan bersatu?

Tepuk dada, tanyalah selera.

Maklumat penulis:

Pensyarah Kanan (Fisiologi), Jabatan Sains Asas, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Selangor, Bandar Puncak Alam, Dr Razif DasimanBerbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my