Jiwa prihatin mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) sekali lagi menjadi bukti bahawa golongan muda mampu menggerakkan perubahan besar untuk masyarakat apabila berjaya menganjurkan Kempen Derma Darah Perdana UiTM HeartBeat secara serentak di 22 kampus seluruh negara.
Bertemakan 'Derma Darah, Semai Harapan: Bersama Selamatkan Nyawa', program yang berlangsung sempena Hari Penderma Darah Sedunia ini dijayakan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pusat Darah Negara sebagai simbolik usaha menyokong sistem kesihatan negara serta memperkukuh semangat kesukarelawanan dalam kalangan generasi muda.
Majlis penutup yang berlangsung di UiTM Shah Alam, Selangor, dirasmikan oleh Pengarah Pusat Darah Negara, Dr Mohammad Masrin Md Zahrin, turut dihadiri Penolong Naib Canselor (Komunikasi Strategik) UiTM, Profesor Dr Ismie Roha Mohamed Jais serta wakil-wakil pengurusan tertinggi universiti dan kementerian.
“Program ini bukan sekadar simbolik tetapi satu keperluan kritikal. Ia membuka jalan untuk kempen berkala dan sistematik di seluruh UiTM.
“Ia juga menyemai nilai tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG 3) yang menekankan aspek kesihatan dan kesejahteraan," kata Ismie Roha.
Mahasiswa tunjuk teladan
Dalam tempoh pelaksanaan, ribuan beg darah berjaya dikumpul, malah ramai mahasiswa tampil sebagai penderma darah pertama kali memperlihatkan keberanian dan keprihatinan mereka terhadap keperluan komuniti.
Mohammad Masrin memuji inisiatif UiTM sebagai 'model kempen pendermaan darah' yang boleh dicontohi oleh institusi lain.
“Kempen sebegini bukan sahaja membantu menambah bekalan darah negara yang memerlukan lebih 2,000 beg darah setiap hari, malah membina komuniti penderma darah berterusan,” katanya.
Kempen ini turut mendapat dukungan pelbagai agensi kerajaan, hospital swasta, NGO dan komuniti setempat membuktikan kekuatan kolaborasi strategik untuk agenda kesihatan awam.
Lebih daripada sekadar kempen kesihatan, inisiatif UiTM ini memperlihatkan betapa pentingnya pendidikan tinggi dalam membentuk generasi muda berjiwa besar dan peka terhadap keperluan masyarakat.
Dengan sokongan padu dari pelbagai pihak, UiTM bukan sahaja melahirkan tenaga mahir tetapi turut memupuk watak pemimpin berjiwa rakyat yang akan terus menyumbang kepada pembangunan negara dalam pelbagai aspek termasuk kesihatan, kemanusiaan dan kesejahteraan komuniti.