Pencapaian Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 11 (1) sebagai finalis Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2025 bagi kategori Menyokong Kehidupan Sihat membuktikan sekolah di Malaysia mampu menyerlah di persada antarabangsa.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, dalam ucapan tahniahnya turut merakamkan penghargaan kepada guru, pentadbir dan murid-murid atas usaha dan dedikasi mereka hingga berjaya mencapai tahap 10 terbaik dalam kategori berkenaan.
"Saya harap mereka akan disenarai pendek lagi untuk kemenangan di pusingan yang selanjutnya. Jadi kita ucapkan syabas dan tahniah.
"Ini menunjukkan Malaysia, anak-anak kita dan sekolah kita mempunyai potensi besar...maknanya acuan itu adalah acuan kita, budaya kita dan paling penting adalah sekolah kita," katanya kepada pemberita selepas Persidangan meja Bulat Menteri Pendidikan dan Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN (#EduRoundtables2025), di Langkawi pada Khamis.
SK Putrajaya Presint 11 (1) terpilih dalam kategori Menyokong Kehidupan Sihat hasil inisiatif memperkenalkan aplikasi mudah alih HELPIE yang menumpukan kepada kesihatan mental dan kesejahteraan hidup.
Menurut kenyataan penganjur anugerah berkenaan T4 Education di laman webnya, sekolah berkenaan berjaya memecahkan tembok yang menjadi penghalang pemantapan kesihatan mental dan kesejahteraan hidup menerusi aplikasi HELPIE.
Direka dan dibangunkan oleh murid untuk murid, HELPIE menjadikan sokongan kesihatan mental boleh diakses, interaktif, menarik dan menyeronokkan.
Bagi memastikan murid dengan sumber digital terhad tidak ketinggalan, aplikasi itu dipasang pada tablet yang disediakan oleh sekolah, menjadikan ia boleh diakses oleh kanak-kanak sepanjang hari semasa di sekolah.
"Sejak pelaksanaannya, sekolah berkenaan telah melihat penurunan 60 peratus dalam tahap tekanan murid. Lebih 90 peratus murid dilaporkan mempunyai pemahaman lebih baik mengenai emosi mereka dan 87 peratus mengatakan mereka memahami tahap tekanan mereka dengan lebih baik," menurut kenyataan itu. - Bernama