Dalam dunia yang bergerak sepantas scroll jari, bukan mudah untuk duduk diam dan tidak berasa apa-apa.
Setiap hari, kita disuap dengan ribuan paparan kejayaan orang lain, pendapat orang lain, gaya hidup orang lain.
Lama-kelamaan, bukan sekadar rasa ketinggalan kita mula rasa hilang diri sendiri.
Inilah yang dinamakan FOMO - Fear of Missing Out. Ketakutan yang perlahan-lahan berubah menjadi kebiasaan. Takut tertinggal trend, takut tidak cukup update, takut tidak nampak ikut zaman.
Ramai tak sedar, FOMO bukan sekadar isu tidak join event viral atau tidak pakai barang trending. Ia lebih dalam daripada itu. Ia menyentuh soal identiti dan tekanan untuk bersuara walaupun kita tidak benar-benar mahu berkata apa-apa.
Ada orang tweet hanya sebab takut orang anggap dia tidak cakna isu semasa.
Ada orang buat video hanya sebab semua orang lain buat, walaupun dia tidak selesa tunjuk wajah.
Ada yang kongsi stand politik atau sosial bukan sebab mereka yakin tetapi sebab mereka tak mahu dilihat diam, tak kisah atau ketinggalan.
Kita bukan lagi bersuara kerana ada sesuatu untuk dikatakan. Kita bersuara kerana takut tidak kelihatan relevan. Dan dalam proses itu, perlahan-lahan kita hilang suara sebenar.
Kita tidak tahu lagi mana pendapat kita, mana yang hanya sekadar ikut arus. Kita mula hidup untuk engagement, bukan untuk jujur.
Bila semua orang ada suara, kita pula rasa bersalah jika tidak berkata apa-apa walaupun hati sendiri tak bersedia.
Akhirnya, kita penat. Penat jadi orang lain. Penat rasa perlu sentiasa ada fake. Penat berpura-pura tahu semua hal, walhal kita cuma manusia biasa yang masih belajar.
Tetapi dalam dunia yang terlalu bising, diam pun salah. Dan bila akhirnya kita betul-betul diam, kita pula mula rasa...kosong.
Tidak semua orang perlu bersuara tentang semua perkara. Dan tidak semua suara perlu disuarakan hanya kerana orang lain melakukannya. Kadang-kadang, yang paling jujur adalah dengan mengakui,"Saya tak pasti. Saya masih mencari". Itu pun satu bentuk suara.
Isu seperti ini semakin mendapat perhatian melalui platform seperti program komuniti Masyarakat DokPanic 5.0, inisiatif oleh pelajar Komunikasi Media Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor.
Dengan tema kebebasan bersuara, program ini mengetengahkan suara yang selama ini takut untuk muncul termasuk suara anak muda yang masih mencari identiti di tengah-tengah bisingnya dunia digital.
Kerana dalam dunia yang memaksa kita untuk sentiasa ada, mungkin yang paling berani adalah mereka yang berani berkata..."Saya tak perlukan semua ini untuk tahu siapa saya".
Maklumat penulis:
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Pengajian Media (Pengiklanan), UiTM Shah Alam, Selangor, Puteri Anis Najwa Mohd Rafdi
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my