Seorang guru wanita ditemui meninggal dunia di kediamannya di Taman Satelit, Bahau pada pagi Isnin.
Sumber memaklumkan bahawa guru berusia 55 tahun itu dikatakan tidak hadir ke sekolah seperti kebiasaan, selain pihak sekolah juga gagal menghubunginya.
Menurutnya, situasi tersebut menyebabkan Penolong Kanan sekolah berkenaan bertindak pergi sendiri ke rumah guru berkenaan untuk membuat pemeriksaan.
"Apabila tiba di lokasi, kenderaan mangsa masih dilihat berada di luar rumah, namun panggilan telefon tidak berjawab.
"Keadaan mencurigakan itu mendorong pihak sekolah menghubungi bomba untuk membantu membuka pintu rumah mangsa," katanya pada Isnin.
Katanya, pasukan bomba yang tiba di lokasi kemudian berjaya membuka pintu rumah dan menemukan mangsa telah meninggal dunia.
Ujarnya, polis kemudian dipanggil ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan lanjut.
Difahamkan, mangsa mempunyai rekod penyakit jantung dan pernah menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Norhisham Mustapar, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
Ujarnya, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dikesan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).