"Eh, dia ni jakun lah!"
"Tak hairanlah, asal dari dalam hutan."
"Dah tahu Orang Asli, mestilah tak tahu apa."
Frasa-frasa seperti ini mungkin dilontar sebagai jenaka, tetapi impaknya bukan sekadar kata-kata kosong.
Ia mencerminkan sikap dan cara fikir sebahagian masyarakat yang masih menilai komuniti Orang Asli dari sudut yang sempit dan menghina.
Stereotaip seperti ini bukan sahaja menyakitkan, tetapi ia juga menidakkan hakikat bahawa komuniti Orang Asli merupakan kelompok yang kaya dengan ilmu, nilai dan potensi.
Mereka bukan lambang kemunduran sebaliknya mereka adalah penjaga warisan, alam dan juga suara yang semakin berani menuntut hak masing-masing.
Realitinya, ramai anak Orang Asli yang telah membuktikan bahawa asal-usul bukan penghalang kejayaan.
Ambil contoh Norashikin A'koi, anak kaum Semai dari Perak yang pernah merangkul Anugerah Naib Canselor di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Kita juga ada Rizal Johari, anak muda kaum Temuan yang bukan sahaja berjaya menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM), tetapi kini menjadi aktivis dan motivator komuniti.
Mereka ini bukan hanya simbol kejayaan individu tetapi bukti nyata bahawa Orang Asli mampu bersaing dan berjaya, jika diberi peluang yang adil.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, terdapat lebih 200,000 Orang Asli di negara ini, dengan lebih 80 peratus tinggal di kawasan luar bandar.
Ramai yang masih bergelut dengan akses kepada pendidikan, kemudahan asas dan pekerjaan.
Namun begitu, data dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menunjukkan peningkatan enrolmen pelajar Orang Asli dalam pendidikan menengah dan tinggi sejak lima tahun kebelakangan ini hasil usaha berterusan agensi seperti JAKOA dan badan bukan kerajaan.
Namun di sebalik semua ini, masyarakat masih cepat melabel.
Duduk di hutan mesti 'jakun'. Tak fasih bercakap Melayu mesti 'kurang bijak'. Pakai baju ringkas mesti 'tak bertamadun'.
Hakikatnya, siapa sebenarnya yang tidak bertamadun bila kita menghina tanpa kenal dan menilai tanpa memahami?
Orang Asli bukan tidak bersuara. Mereka sudah lama bersuara melalui seni, budaya, forum komuniti dan aktivisme akar umbi. Tetapi suara mereka tidak lantang kerana tidak diberi ruang.
Mereka bukan mahu keistimewaan, mereka mahu keadilan untuk didengari, dihormati dan diiktiraf sebagai rakyat Malaysia yang setara.
Sebab itu wujudnya inisiatif seperti program komuniti 'Masyarakat DokPanic 5.0' anjuran pelajar Komunikasi Media UiTM Shah Alam, Selangor.
Program ini memberi ruang kepada suara-suara yang sering dipinggirkan termasuk komuniti Orang Asli.
Ia membuka pentas untuk mereka berkongsi cerita, hak dan cabaran bukan untuk dikasihani, tetapi untuk difahami.
Kita selalu bercakap tentang kemajuan. Tapi selagi kita masih guna 'jakun' sebagai bahan ejekan, mungkin kita sendiri yang masih jauh dari maju.
Maklumat penulis:
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Pengajian Media (Pengiklanan), UiTM Shah Alam, Selangor, Puteri Anis Najwa Mohd Rafdi
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my